Kerajaan akan mengumumkan status jemaah haji Malaysia minggu hadapan selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zukifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Zulkifli berkata, satu mesyuarat berkenaan status jemaah haji bersama Tabung Haji sebagai penyelaras jemaah haji di Malaysia telah diadakan baru-baru ini.

"Hasil mesyuarat tersebut akan dibentangkan dalam Kabinet kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Keputusan perbincangan akan diumumkan pada minggu hadapan," katanya menerusi satu kenyataan di laman Twitternya.


Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sebarang keputusan membenarkan jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim ini bergantung pengumuman Kerajaan Arab Saudi.

Menurut beliau, Malaysia akan menunggu pengumuman Kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu, sama ada umat Islam dibenarkan untuk menunaikan haji tahun ini atau sebaliknya.

Kata Ismail Sabri, sebaik saja Arab Saudi membuat pengumuman mengenai haji, kerajaan akan berbincang mengenainya dan keputusannya akan diumumkan oleh Dr Zulkifli.