Semua produk tembakau yang diimport, diedarkan, telah dijual, ditawarkan untuk jualan atau dimiliki untuk jualan di Singapura perlu mematuhi peraturan pembungkusan yang distandardkan bermula 1 Julai ini.

Produk tembakau termasuk rokok, cerut kecil, cerut, "beedi", "ang hoon" dan rokok gulung.

Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, spesifikasi peraturan baharu itu meliputi rupa bentuk, pembungkusan, pelabelan ke atas pembungkusan runcit semua produk tembakau.

Ia meliputi penyingkiran semua logo, warna, imej dan maklumat promosi di atas bungkusan produk tembakau, selain daripada jenama dan nama varian dipaparkan dengan satu warna dan gaya "font" yang standard.

Ia juga menyakskan peningkatan saiz minimum grafik amaran kesihatan kepada 75 peratus daripada 50 peratus pada masa ini untuk semua permukaan bungkusan produk tembakau ditetapkan.

Kementerian itu berkata ketidakpatuhan kepada peraturan ini merupakan satu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi S$10,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan untuk kesalahan pertama.

Kementerian itu berkata notis selama 12 bulan sejak 1 Julai tahun lepas telah diberikan kepada pengeluar tembakau, pengimport, pemborong, peruncit untuk membuat pelarasan dan persiapan kepada pelaksanaan sepenuhnya peraturan itu bermula 1 Julai ini.

-- BERNAMA