Skim Rondaan Sukarela (SRS) berperanan amat penting dalam memastikan keselamatan kesejahteraan dan keharmonian komuniti.
Bernama
Sat Nov 23 2024
Baderulhisham (dua, kanan) mewakili Muhammad merasmikan Program Pengukuhan Keselamatan dan Ketahanan Komuniti: Jom Ronda Bersepadu SRS dan Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS peringkat negeri di Kuala Perlis malam tadi. - Facebook Polis Perlis
KANGAR: Skim Rondaan Sukarela (SRS) berperanan amat penting dalam memastikan keselamatan kesejahteraan dan keharmonian komuniti termasuk membantu keberkesanan usaha pihak keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata SRS membantu PDRM mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan penduduk setempat sejak skim rondaan itu diperkenalkan pada 2004.
"Ini membuktikan bahawa penglibatan komuniti amat penting dalam memainkan peranan menjaga keselamatan masing-masing dan tidak hanya diserahkan bulat-bulat kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perasmian Program Pengukuhan Keselamatan dan Ketahanan Komuniti: Jom Ronda Bersepadu SRS dan Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS peringkat negeri di Kuala Perlis dekat sini malam tadi.
Teks ucapan Muhammad dibacakan Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin yang turut mewakili beliau merasmikan program berkenaan. Turut hadir Pengarah Perpaduan Perlis Hanita Ahmad.
Sehubungan itu, Muhammad menyeru semua penduduk setempat supaya mengambil bahagian dalam SRS dan beliau yakin keselamatan dan kesejahteraan kawasan setempat akan lebih terjamin dengan pertambahan keanggotaan pasukan itu.
"Setiap penugasan rondaan dapat diaturgerakkan dengan lebih lancar dan efisien di samping dapat mengeratkan hubungan serta saling mengenali antara satu sama lain," katanya.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Perlis itu juga katanya dapat mengeratkan hubungan penduduk setempat dengan agensi keselamatan.