Menurut sumber suspek lelaki, berumur dalam lingkungan 40-an, dan adiknya, 30-an, ditahan dalam Op Liter yang dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM dengan kerjasama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Mereka ditahan bersama dua lagi lelaki serta seorang wanita di depo berkenaan, selepas dipercayai terlibat dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.
"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.
"Mereka disyaki turut membayar wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa, bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu berkenaan, SPRM turut menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel serta wang tunai kira-kira RM3.7 juta.
Dua beradik berkenaan masing-masing direman sehari dan empat hari bagi membantu siasatan, manakala dua lelaki dan seorang wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA