Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya turut menyiasat lima syarikat dikatakan mempunyai saham membabitkan beberapa individu termasuk ahli politik terkait dengan kes itu.
Dalam masa sama, beliau mengesahkan seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) MBI direman seminggu bermula pada Khamis.
“Pagi ini kita dapat satu lagi permohonan reman terhadap bekas COO MBI yang sebelum ini kita tangkap dan hanya dapat reman sehari.
“Kali ini dia ditahan sekali lagi atas isu yang lain dan permohonan reman diperoleh selama tujuh hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Bank-bank Komersial, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azam berkata, penemuan terkini hasil penggeledahan enam premis berkaitan skandal rasuah perlombongan pasir membawa kepada penyitaan wang berjumlah RM600,000.
Azam tidak menolak kemungkinan seorang suspek adalah ahli politik berpengaruh yang dikaitkan dengan penemuan RM5 juta hasil penggeledahan SPRM di sebuah premis dijadikan safe house baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai jangkaan tangkapan ahli politik berkenaan, Azam berkata ia memerlukan sedikit masa untuk pegawainya melengkapkan siasatan.
“Sekarang ini jika tidak salah saya tidak kurang 18 orang kita sudah ambil keterangan.
“SPRM akan panggil lebih ramai saksi, kebanyakannya yang pernah bekerja di MBI dan sektor swasta terlibat,” ujarnya.