Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus bekerjasama dengan kerajaan Johor bagi membantu meneliti prosedur-prosedur kerajaan negeri yang lemah yang mampu membuka ruang dan peluang kepada amalan rasuah.

SPRM dalam kenyataan media pada Khamis berkata ia percaya kerjasama itu akan mempertingkat dan memperkasakan lagi pelaksanaan pentadbiran kerajaan negeri serta memastikannya bersih daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Langkah itu sebagai menjunjung kasih titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berharap kerajaan negeri dan SPRM terus menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan integriti penjawat awam serta mengemas kini prosedur yang lemah dan terdedah kepada rasuah.

Titah baginda pada perasmian pembukaan penggal persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 yang dibacakan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyeru kes siasatan SPRM terhadap penjawat awam negeri itu tidak dilihat sebagai melemahkan pentadbiran kerajaan negeri sebaliknya harus dijadikan kekuatan.

"SPRM menjunjung titah baginda sebagai satu cabaran dan berazam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa dengan lebih komited dan efisien.

"Suruhanjaya ini juga akan terus melipatgandakan usaha memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan seiring dengan titah baginda," tambah kenyataan itu.

SPRM juga berharap rakyat mengambil titah baginda sebagai iktibar dan turut bersama SPRM dalam usaha memerangi isu rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

--BERNAMA