Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis mengambil keterangan seorang ketua pengarah agensi penguatkuasaan berhubung set golf bernilai lebih RM40,000 yang diterimanya.

Menurut sumber SPRM, keterangan itu diambil di pejabat ketua pengarah berkenaan di sini.

Tiga pegawai termasuk pembantu peribadi ketua pengarah terbabit turut diambil keterangan berhubung kes itu, katanya.

"Lelaki berusia 50-an itu dipercayai menerima set golf bernilai lebih RM40,000 daripada pihak tertentu.

"SPRM mengambil keterangan beliau di pejabatnya hari ini dan siasatan sedang dijalankan," kata sumber SPRM itu.

Sumber itu berkata tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu setakat ini.

-- BERNAMA