Tahniah juga pada pihak KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia yang telah berjaya mengatur dan melaksanakan prosedur peperiksaan SPM 2020 secara tersusun dan lancar.
Tahniah pada pihak sekolah khususnya kepada para guru dan ibu bapa yang telah berjaya memberikan pendidikan dan membuat persiapan rapi untuk memastikan murid-murid mereka dapat menghadapi peperiksaan SPM dengan jayanya.
Keputusan peperiksaan SPM yang baru diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan pagi tadi sebenarnya membuka lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
Seperti dimaklumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan sendiri, pihak KPM akan menganalisis keputusan SPM dan menyediakan laporan lengkap dalam masa terdekat.
Tiga persoalan besar yang perlu dianalisis secara terperinci berdasarkan sidang media YB Menteri Kanan sebentar tadi:
1. Keputusan SPM menunjukkan Gred Purata Nasional (GPN) bertambah baik dari GPN 4.86 (2019) kepada GPN 4.80 (2020). Berlaku tambah baik gred sebanyak 0.06 mata.
Ini satu angka penambahbaikan yang signifikan. Maksudnya prestasi purata pencapaian murid-murid yang mengambil SPM 2020 adalah lebih baik dari SPM 2019.
Malah dimaklumkan oleh Menteri Kanan KPM bahawa GPN 2020 adalah yang terbaik semenjak 5 tahun lalu.
Maksudnya, dalam keadaan pendidikan dalam persekitaran pandemik sejak Mac 2020, prestasi akademik murid-murid tetap telah meningkat. Tentulah ini menimbulkan persoalan besar.
Kita tahu sesi persekolahan telah ditutup selama 110 hari sepanjang 2020, pelaksanaan PdPR 1.0 juga dalam keadaan yang tidak begitu teratur, ramai guru dan ibu bapa yang mengeluh kerana sesi pembelajaran anak-anak mereka sangat terganggu, tetapi keputusan SPM 2020 telah menunjukkan sebaliknya.
Bukan sahaja GPN SPM 2020 tidak merosot seperti yang dijangkakan, malah sebalik GPN 2020 didapati bertambah baik dan lebih menarik lagi keputusan SPM 2020 menjadi yang terbaik sejak lima tahun lalu.
Nampaknya walaupun waktu pengajaran dan pembelajaran di sekolah telah berkurangan dengan banyak (110 hari), guru sendiri mengakui sukar untuk melaksanakan PdPR, para ibu bapa pula mengeluh anak-anak sukar belajar di rumah, data dari keputusan SPM 2020 menunjukkan keadaan sebaliknya.
Apakah faktor utama sehingga keadaan ini berlaku?
Tentu sahaja ramai pakar pendidikan seluruh dunia mahu belajar dari kejayaan Malaysia. Tentu negara-negara lain ingin tahu bagaimana dalam keadaan bencana pandemik yang melanda negara, sesi persekolahan ditutup selama 110 hari, tetapi prestasi akademik murid-murid masih terus meningkat, malah prestasi yang lebih baik berbanding ketika negara dalam keadaan yang normal sebelumnya.
2. Persoalan kedua, didapati GPN SPM 2020 bagi murid-murid luar bandar telah menunjukkan peningkatan prestasi yang lebih tinggi berbanding GPN murid-murid bandar.
Data menunjukkan GPN pencapaian pelajar luar bandar meningkat sebanyak 0.08 bila dibandingkan antara tahun 2019 (GPN 5.14) dan 2020 (GPN 5.06), sedangkan pelajar bandar hanya meningkat sebanyak 0.02 sahaja.
Perbezaan angka peningkatan sebanyak 0.06 adalah besar sebenarnya dalam pengiraan GPN. Ini sangat menarik.
Maksudnya dalam keadaan persekitaran pandemik, walaupun sekolah lama ditutup, dan tiada kemudahan akses internet dan tiada pemilikan peranti pembelajaran untuk PdPR yang meluas di kalangan murid-murid luar bandar, mereka telah menunjukkan peningkatan prestasi yang luar biasa.
Skor peningkatan yang jauh lebih baik dari prestasi pelajar kawasan bandar. Jelas data ini membuktikan bahawa dalam persekitaran pandemik, bencana ini seolah-olah langsung tidak mempengaruhi prestasi murid-murid luar bandar malah sebaliknya telah pula meningkatkan lagi prestasi mereka berbanding tahun 2019.
Data ini sangat bertentangan dengan banyak kajian pendidikan termasuk kajian oleh OECD dan UNICEF yang mengesahkan bencana pandemik telah menyebabkan pembelajaran murid-murid berada dalam keadaan sukar, motivasi belajar menurun dan prestasi akademik merosot. Malaysia menunjukkan sebaliknya.
Malah lebih menarik, pendidikan dalam persekitaran pandemik sepanjang tahun 2020 juga telah menyebabkan jurang pencapaian akademik antara murid-murid bandar dan luar bandar semakin berkurangan dari 0.44 pada 2019 kepada hanya 0.38 pada tahun 2020.
3. Persoalan ketiga, beberapa mata pelajaran teras didapati berlaku peningkatan prestasi dalam SPM 2020 berbanding SPM 2019.
Prestasi mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan sejarah didapati lebih baik berbanding SPM 2019.
Bermaksud dalam keadaan kekalutan pandemik, sesi sekolah ditutup begitu lama, guru-guru pula masih tidak begitu bersedia dalam PdPR 1.0 dan PdPR 2.0, keputusan empat mata pelajaran teras yang dianggapkan sukar oleh murid-murid boleh juga meningkat.
Apakah rahsia sistem pendidikan pendidikan Malaysia? Apakah ini mengesahkan PdPR 1.0 dan 2.0 gtelah berjaya?
Tentu ramai pakar dan pemimpin pendidikan negara lain ingin ketahui tentang cara Malaysia laksanakan PdPR. Tentu ini akan menjadi 'success story' yang besar dalam dunia pendidikan global.
Bagaimana KPM telah berjaya menguruskan pendidikan negara sehinggakan walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang sangat kritikal dan begitu sukar, prestasi murid-murid masih boleh lebih baik berbanding murid-murid sebelumnya yang belajar dalam keadaan normal.
Tiga persoalan ini tentunya akan dianalisis sebaiknya oleh pasukan pemikir KPM. Tentu masyarakat ingin tahu apakah rahsia kejayaan KPM.
* Anuar Ahmad ialah Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.