Penyertaan dan kemenangan pasukan orkestra daripada Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, SP Winds di serata dunia termasuk di Los Angeles, New York, Sydney, Vienna dan Singapura selama ini menjadi semangat kumpulan itu untuk terus mengharumkan nama negara di mata dunia.

Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SP Winds, Wan Jamaluddin Wan Abdul Malik berkata, ia sekali gus platform SP Winds membuktikan impian mereka menjadi kenyataan di World Music Contest 2017 yang ke 18 di Amsterdam pada Julai depan.

"Bukan mudah untuk kami menyertai pertandingan World Music Contest 2017, kerana semua yang masuk adalah dipilih khas kerana perlu melalui tapisan dan memenangi pertandingan peringkat antarabangsa dan World Music Contest 2017 hanya diadakan empat tahun sekali . Ini adalah peluang kami membawa bendera Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Biasanya lagu yang kami mainkan ditetapkan oleh penganjur, kami juga ada membawakan lagu-lagu Melayu dalam persembahan tambahan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

SP Winds telah ditubuhkan pada tahun 1976 di SSP dan pertama kali mengharumkan nama Malaysia apabila menyertai dan memenangi Anugerah Emas di Los Angeles International Music Festival 2016.

Kemenangan diumumkan pada 21 Jun 2016 di Walt Disney Concert Hall Los Angeles telah membuka mata pemuzik dan pendidik muzik antarabangsa kepada kumpulan itu.

SP Winds juga telah memenangi antaranya Anugerah Perak di New York Wind Band Festival 2015 selain memenangi beberapa anugerah pada Summa Cum Laude, International Youth Music Festival Vienna 2014.

Oleh itu kata Wan Jamaluddin, impian ke Amsterdam itu dilihat perlu direalisasikan walaupun mengakui ia bakal menelan belanja besar.

"Ia sebenarnya menelan belanja yang besar untuk membawa kumpulan SP Winds yang seramai 62 orang pelajar dan atas sebab inilah pihak sekolah bersama PIBG dan Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri Cyberjaya akan menjayakan larian amal sempena mengutip dana perbelanjaan untuk membawa mereka ke Amsterdam sebanyak RM700,000.

Run I Amsterdam 2017 yang bakal diadakan pada 6 Mei depan mensasarkan lebih 3,000 perserta daripada pelbagai peringkat usia.

"Kami perlu adakan program ini kerana kos untuk membawa pelajar adalah tinggi. Pada tahun lepas juga kami pernah melakukan program Los Angeles Run 2016 dan kali ini kami ada kategori utama dengan larian enam dan 12 kilometer," ujarnya.

Katanya, acara Run I Amsterdam 2017 telah ditarafkan program peringkat Kebangsaan Kategori B yang melibatkan murid dari Sekolah Berasrama Penuh seluruh Malaysia, Intitusi Pengajian Tinggi dan Komuniti setempat”

"Ia umpama program Run I Amsterdam 2017 diiktiraf seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia yang memberi markah untuk pelajar Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi.

"Kami menyediakan hadiah untuk setiap kategori, walaupun tidak besar tapi matlamatnya ialah untuk mengumpul dana para pelajar ini membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Walaupun kami nampak seperti sangat aktif dengan kegiatan aktiviti kokurikulum namun seperti yang dijangka Sekolah Seri Puteri sebenarnya juga cemerlang dalam bidang pelajaran dan sebagai Sekolah Elit mereka juga perlu cemerlang dalam kedua bidang," jelasnya.

Acara itu akan turut disertai beberapa pelari profesional yang bertindak sebagai ikon Larian SP Winds iaitu Kanna Murugasan yang digelar sebagai Ultraman, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid yang juga dikenali sebagai Ultra Runner dan dua orang yang juga pelari yang sering menyertai kejohanan di negara ini, Muhaizar Muhammad dan Mohd Zami Isa.

Maklumat lanjut atau pendaftaran boleh dilakukan secara atas talian di Facebook.com/SPWindsRun/.