Kerajaan memutuskan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses Pertukaran Anak Kapal (sign on dan sign off).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi anak kapal yang hendak menjalani proses 'sign on', mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

"Sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan. Bagi yang negatif pula, mereka akan dikuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin dan perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13. Jika negatif, mereka akan dibenarkan untuk menjalani proses 'sign on' di pelabuhan," katanya dalam sidang media PKPP di bangunan Parlimen pada Isnin.



Bagi proses 'sign off 'pula, anak kapal perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di pelabuhan.

"Sekiranya positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan. Jika anak kapal terbabit didapati negatif, mereka perlu menjalani proses kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin dan disaring kali kedua pada hari ke -13.

"Jika keputusan saringan kedua menunjukkan mereka negatif, maka kesemuanya akan dibenarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke negara masing-masing.

"Kos kuarantin wajib 14 hari termasuk kos ujian saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan anak kapal," ujar beliau lagi.