Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, isu ini bukan sahaja membabitkan Kementerian Kesihatan, dan pihaknya berharap untuk mencapai satu keputusan terbaik dalam mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung esok.
"Perlu keputusan bersama kerana hal ini melibatkan isu keselamatan, kesihatan rakyat, ekonomi dan sebagainya, jadi kena dapat maklumat yang tepat dari rakan-rakan dari kementerian lain juga.
"Esok ada mesyuarat Kabinet dan saya pun sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, kita akan bentangkan fakta yang diperolehi dan kita bentangkan juga kemungkinan yang boleh berlaku.
"Kita harap esok ada keputusan terbaik yang akan mengimbangi sudut sains dan data, serta persepsi masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas membuat pemantauan tahap kesiapsiagaan negara dalam berdepan sebarang kemungkinan, khususnya melihat pada trend peningkatan kes COVID-19 di luar negara.
Tambahnya, KKM amat serius dalam soal kesihatan awam dengan persiapan rapi termasuk Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan maklumat tepat dan terkini diperolehi.
KKM juga berharap rakyat mematuhi saranan kesihatan, selain turut menggalakkan pengambilan vaksin penggalak.
"Mask mandate masih dilaksanakan khususnya dalam pengangkutan awam dan pusat kesihatan. Di tempat yang lain, kita galakkan orang ramai untuk terus pakai pelitup muka terutama di kawasan sempit dan sesak," katanya lagi.