Menurut bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras itu, parti Melayu itu tiada alasan relevan untuk membatalkan perhimpunan solidariti tersebut kerana ia tidak terkait secara langsung dengan titah Istana Negara.
"Kita mengambil maklum dan menjunjung kasih titah Istana Negara pada Jumaat lalu yang memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
"Pada pandangan saya, titah daripada Istana Negara itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang tegahan atau larangan bersabit 'Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan' di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
BACA: Saya akan hadir beri sokongan moral kepada Najib - Akmal Saleh
Malam tadi, UMNO dalam kenyataan memaklumkan tidak akan meneruskan perhimpunan 'Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan' pada Isnin ini.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.
Syed Ali menambah, UMNO, Pas serta beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini akan menggerakkan perhimpunan tersebut bagi menzahirkan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Beliau juga mendakwa wujud anggapan bahawa pemimpin UMNO 'takut' kepada suara DAP, dan tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib bekas Presiden UMNO itu yang kini berada di penjara.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.