Pendengaran bagi aduan disiplin terhadap peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah yang difailkan oleh bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan kepada 22 dan 23 Julai.

Perbicaraan sepatutnya dijalankan di Lembaga Disiplin Peguam-Peguam pada hari ini tetapi kedua-dua peguam yang mewakili Shafee berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mengemukakan dokumen responden tambahan.

Salah satu daripada peguam Anwar, R Sivarasa, memberitahu pemberita bahawa pengerusi jawatankuasa disiplin Datuk Vijay Kumar Natarajan bersetuju dan berkata perbicaraan perlu diteruskan pada tarikh baharu yang ditetapkan.

Sivarasa juga menjelaskan bahawa peguam Shafee juga meminta pengerusi tribunal untuk tidak melibatkan diri dalam kes ini atas sebab bercanggah kepentingan atau ‘conflict of interest’.

"Peguam Shafee, Harminder Singh, memfailkan permohonan meminta pengerusi untuk tidak melibatkan diri dalam kes ini. Surat telah diserahkan petang semalam untuk menjelaskan sebabnya.

"Ia mempunyai kaitan dengan kes saman sivil sebelum ini yang melibatkan Viyay dan firma guaman Shafee. Harminder mendakwa Vijay boleh bertindak prejudis terhadap Shafee," katanya.

Walau bagaimanapun, Vijay menolak permohonan itu dan akan terus menjadi pengerusi tribunal ini.

Beliau akan disertai oleh dua orang ahli lain: Izzat Othman dan Ng Kay Yip.

Sivarasa menjelaskan bahawa aduan ini difailkan pada 10 Februari 2014 atas dasar bahawa Shafee sepatutnya menolak pelantikan beliau sebagai timbalan pendakwa raya dalam perbicaraan kes liwat kedua Anwar.

"Shafee tidak sepatutnya menerima pelantikannya kerana penglibatan beliau dalam kes-kes sebelum ini sejak 1998. Beliau turut mengaku berada di rumah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Mohd Saiful Bukhari Azlan melawat Najib. Namun beliau berkata dia berada di sana untuk menasihati Rosmah pada beberapa perkara yang tidak berkaitan.

“Dia tahu adanya ‘conflict of interest’ dan telah melanggar peraturan etika yang diamalkan oleh peguam," jelas Sivarasa.

Selain Sivarasa, Anwar diwakili oleh Latheefa Koya, Shahid Adli Kamarudin dan Raul Lee.

Shafee - yang tidak hadir hari ini - diwakili oleh Harminder dan Sarah Abishegam.

Turut hadir ialah isteri Anwar iaitu Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuannya, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah.

Kerana ia merupakan pendegaran tertutup, Wan Azizah dan Nurul Izzah berkata mereka hanya dapat melihat Anwar dari jauh.

Anwar tiba di Wisma Maran dengan kawalan ketat pengawal penjara pada jam 10.10 pagi dan keluar dari bangunan tersebut pada jam 12.20 tengah hari.