Projek amaran banjir ciptaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Sabah dinobatkan sebagai juara pertandingan PETRONAS All About Youth (AAY) 2015.

Projek yang dinamakan 'Awas! Bahaya Di Hadapan' itu menyaksikan para pelajar mewujudkan satu sistem amaran banjir dipasang di kawasan yang berkedudukan rendah seperti di Jambatan Tamparuli untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.

Dibina semasa era penjajahan, jambatan tersebut sering dinaiki air banjir semasa hujan lebat dan menimbulkan bahaya kepada orang awam.

Kemenangan itu membolehkan SMK Tamparuli membawa pulang wang tunai RM50,000 sebagai dana untuk membaik pulih sekolah, manakala setiap ahli pasukan menerima RM1,000 didepositkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Hadiah disampaikan pada majlis makan malam gala PETRONAS AAY 2015 oleh Ketua Pengarah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Malik Ridhwan
Pertandingan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas bertujuan mengasah bakat, kreativiti dan kepimpinan pelajar melalui projek-projek yang memberi faedah terhadap keperluan komuniti setempat. - Gambar Astro AWANI/MALIK RIDHWAN

"Program seperti ini adalah contoh kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk membangunkan inisiatif CSR yang berkesan,"

"Saya percaya konsep memperkasakan belia yang menjadi tulang belakang kepada program ini akan menjadi trend untuk masa depan," kata Dr Khair ketika ditemui media.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

"Pada mulanya, PETRONAS mahu memperkasakan belia yang akan menjadi pemangkin dan penggerak dalam mewujudkan perubahan positif dalam kalangan masyarakat dan AAY adalah bukti komitmen itu.

"Kami percaya bahawa AAY dapat mewujudkan persekitaran yang positif bagi duta muda kita untuk merealisasikan potensi mereka," kata Wan Zulkiflee.

Dalam pada itu, SMK Teresa dari Sarawak mendapat tempat kedua dan SMK Padang Midin dari Terengganu mendapat tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang RM800 dan RM600 untuk dimasukkan ke dalam akaun SSPN pelajar.

PETRONAS AAY 2015 berbentuk pertandingan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas bertujuan mengasah bakat, kreativiti dan kepimpinan pelajar melalui projek-projek yang memberi faedah terhadap keperluan komuniti setempat.

Pertandingan yang bermula pada Mac lalu melibatkan 1,800 pelajar tingkatan empat dari 90 buah sekolah di Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Terengganu dan Kelantan.