Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memanggil pasangan yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, di laman Facebook mereka.

Pengerusi SKMM, Dato' Mohamed Sharil Tarmizi mengesahkan bahawa kedua-dua individu, Alvin Tan dan Vivian Lee, telah dipanggil untuk merakamkan kenyataan mereka dan membantu siasatan.

"Kami telah memanggil pasangan tersebut. Mereka dijangka hadir di pejabat penguatkuasaan SKMM esok," kata Dato 'Sharil.

Pasangan itu memaparkan gambar di laman Facebook kononnya mereka sedangmenikmati makanan yang tidak halal dengan kapsyen "Selamat berbuka puasa dengan Bak Kut Teh... Wangi, enak dan menyelerakan!"

Dalam kes berasingan di laman Facebook yang lain yang mempersenda bulan Ramadan dengan menyiarkan iklan gambar babi panggang dengan cap Logo Halal, Dato' Mohamed Sharil berkata bahawa pemilik akaun tersebut bukan rakyat Malaysia dan tidak bermastautin di negara ini.

"Kami telah melaporkan perkara ini kepada Facebook dan meminta mereka untuk menyekat laman berkenaan atau memadam akaun tersebut," jelas Dato' Mohamed Sharil.

Pengerusi SKMM itu juga menasihati orang ramai supaya segera melaporkan kepada Facebook melalui onboard tab, jika mereka menjumpai mana-mana paparan yang menghina kesucian Islam.

Pengguna Facebook juga dinasihatkan untuk tidak berkongsi paparan atau foto yang menyinggung perasaan untuk mengelakkan ianya daripada tersebar dan melukakan perasaan orang lain.

"Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita menghormati bulan Ramadan dan rakan-rakan kita yang beragama Islam. Kita perlu sentiasa bertanggungjawab ke atas semua tindakan kita di dalam talian serta lebih peka terhadap sensitiviti orang lain terutamanya mengenai isu-isu agama. Sila berhenti dan berfikir sejenak sebelum kita berkongsi apa-apa maklumat di dalam talian," pesan Dato' Mohamed Sharil.