KUALA LUMPUR: Syarikat pengangkutan awam dan barangan yang telah memperoleh kelulusan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tetapi belum menerima 'fleet card' daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bermula esok.


Ringkasan AI
  • Syarikat pengangkutan perlu menyimpan resit pembelian diesel untuk tuntutan pembayaran balik tunai, jika belum menerima 'fleet card'.
  • Harga baharu diesel RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa mulai 10 Jun 2024.
  • Penetapan harga diesel tanpa subsidi dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun dan mengukuhkan kewangan negara.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak.

"Selaras dengan pengumuman Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di stesen minyak Semenanjung Malaysia mulai 10 Jun 2024, pukul 2.00 tengah malam.

"Sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan 'fleet card' di bawah SKDS," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Armizan turut menyeru syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian di https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon 'fleet card' daripada syarikat minyak pilihan.

Selain itu, Armizan berkata semua arahan dan peraturan sedia ada berkaitan dengan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai dengan pengumuman harga baharu diesel.

Hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bahawa harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam ini.

Beliau berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut Mekanisme Harga Automatik.

Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

-- BERNAMA