Murid-murid Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan akan dipindahkan ke lokasi sementara berikutan bangunan sekolah berkenaan didapati mengalami kerosakan teruk yang boleh mengancam keselamatan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad lokasi premis sekolah sementara itu terletak dalam jarak 3 kilometer dari sekolah asal.

Keputusan itu dibuat di mesyuarat bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Pengarah Pendidikan Sekolah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut semalam.

projek
Projek kondominium mewah yang dibina di belakang sekolah (berbumbung merah) - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar
"Laporan dari MPSJ dan JKR Forensik telah mengesahkan semua bangunan sekolah itu tidak selamat diduduki akibat keretakan dan pemendapan yang serius di Blok B, Blok A, kantin dan kawasan persekitaran sub-stesen TNB akibat kerja-kerja pembinaan projek perumahan mewah yang dijalankan berdekatan sekolah tersebut.

"Kementerian berpendapat keselamatan dan kesihatan murid dan guru mesti diutamakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Pemaju setuju baiki kerosakan di SK Taman Sungai Besi Indah - MPSJ

Madinah berkata pihaknya telah mengenal pasti satu bangunan yang sesuai untuk dijadikan premis sekolah sementara yang mempunyai bangunan empat tingkat yang boleh diubah suai menjadi bilik darjah.

Katanya, pihak sekolah dan ibu bapa telah membuat lawatan ke premis tersebut dan telahpun memberi persetujuan untuk perpindahan ke premis itu.

Malah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk membantu sekolah tersebut, berpindah dengan kadar segera untuk membolehkan premis sekolah sementara ini beroperasi mulai 5 Mei.