AMPANG JAYA : Kejadian tanah runtuh yang berlaku di lereng bukit Jalan E6 Taman Melawati di sini, pagi Selasa dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem pengaliran longkang di Jalan G2, yang tersumbat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, amaran tahap bahaya juga dikeluarkan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada JKR Daerah Gombak dan Hulu Langat pada pukul 4.37 petang Isnin.

"Amaran awal ini juga telah dipanjangkan kepada wakil pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya semalam (Isnin) supaya mengambil langkah berjaga-jaga," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu Alexander memberitahu, beliau turut mengarahkan pasukan CKC untuk ke tapak bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci situasi di kawasan terjejas.

Susulan kejadian itu, penduduk melibatkan 20 rumah diarah mengosongkan kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail sebelum ini berkata, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu turut mengakibatkan laluan utama ke perumahan terbabit selain sebuah kenderaan mengalami kerosakan.

Terdahulu, kejadian tanah runtuh itu tular di media sosial melalui video singkat yang menunjukkan tanah runtuh berlaku berdekatan kawasan perumahan penduduk.

Insiden itu berlaku dipercayai akibat hujan lebat selain aliran air deras dari bukit yang menyebabkan tanah runtuh dan beberapa pokok tumbang.