JOHOR BAHRU: Satu sindiket pengedaran dadah dengan mengubahsuai alat pemadam api untuk diseludup ke negara jiran tumpas apabila sembilan individu ditahan dalam sembilan serbuan di sekitar Johor Bahru pada semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan operasi ini hasil perkongsian maklumat Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam operasi khas pada jam 1.20 Tengah hari semalam.

Katanya, modus operandi sindiket ini telah beroperasi lebih 3 bulan dengan menyembunyikan dadah dalam alat pemadam api yang diubah suai sebelum diseludup ke negara jiran dengan menggunakan lori ais.

“Hasil daripada sembilan serbuan tersebut, polis telah menahan sembilan suspek membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga indonesia berusia antara 26 hingga 40 tahun.

“Polis telah merampas 7.12 kilogram ganja,  4.52 kilogram syabu dan 3.11 kilogram dadah jenis heroin dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM215,283.20.

“Turut disita ialah lapan buah kenderaan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM1,200 dan pelbagai jenis barangan kemas bernilai RM 11,683,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ayob khan, seorang daripada suspek terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 31 Mei sehingga 6 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.