KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 11 individu termasuk empat penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa yang berkhidmat di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya.


Ringkasan AI
  • Penahanan Reman: SPRM menahan reman 11 individu termasuk empat penguat kuasa di Terminal Dua KLIA kerana disyaki terlibat dalam sindiket membawa masuk warga asing tanpa pemeriksaan yang sepatutnya.
  • Modus Operandi: Sindiket ini menggunakan Counter Setting atau laluan Kaunter Khas dengan bantuan pegawai penguat kuasa untuk memudahkan kemasukan warga asing tanpa pemeriksaan mengikut prosedur.
  • Sitaan dan Siasatan: SPRM menyita pasport, telefon bimbit, barang kemas, kepingan emas, dan wang tunai lebih RM40,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.


Seramai tiga penguat kuasa lelaki direman selama lima hari sehingga 25 Ogos 2024 manakala seorang lagi penguat kuasa lelaki direman selama tiga hari sehingga 23 Ogos 2024.

Manakala, empat pemilik syarikat membabitkan dua lelaki serta seorang wanita direman selama lima hari sehingga 25 Ogos 2024, dan seorang pemilik syarikat wanita direman selama empat hari sehingga 24 Ogos 2024.

Turut direman selama lima hari sehingga 25 Ogos 2024 adalah dua orang awam iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai bertindak menjadi wakil ejen sindiket terbabit, selain seorang pengurus syarikat lelaki yang direman selama empat hari sehingga 24 Ogos 2024.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, kesemua supek yang berusia antara 20 hingga 50-an ini ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu sindiket membawa masuk warga asing menerusi Terminal Dua KLIA menggunakan modus operandi 'Counter Setting' atau laluan 'Kaunter Khas' dengan bantuan pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa.

"Sindiket ini dipercayai bersekongkol dengan beberapa pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak mengatur laluan 'kaunter khas' khusus untuk kumpulan warga asing tertentu yang tiba di negara ini menggunakan khidmat penerbangan sejak beberapa tahun lalu.

"Menerusi laluan kaunter khas yang diatur ini, kumpulan warga asing yang menggunakan khidmat sindiket berkenaan akan masuk dengan mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021," katanya.

Menurut sumber itu lagi, susulan operasi dijalankan, SPRM turut menyita beberapa keping pasport warganegara Pakistan dan Indonesia, 13 unit telefon bimbit, barang kemas serta kepingan emas selain wang tunai berjumlah lebih RM40,000.

Sumber itu berkata, kesemua suspek terbabit termasuk seorang penguat kuasa yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini ditahan menerusi Op Pump dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan sekitar jam 9 hingga 6 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.