KUALA LUMPUR: Isu kesesakan di penjara yang dilaporkan meruncing di Malaysia turut dihadapi banyak negara di dunia yang majoriti banduannya dikatakan terlibat dengan jenayah dadah.
Negara Portugal misalnya, sebelum tahun 2000, pernah direkodkan mempunyai jumlah penagih tertinggi di dunia, bagaimanapun semakin berkurangan apabila negara berkenaan melaksanakan konsep 'nyah jenayah' dengan merawat melalui perubatan berbanding hukuman dalam penjara.
Begitu juga Belanda yang turut melaksanakan konsep seakan sama dalam menangani isu kesesakan di penjara sehingga berjaya mengurangkan sebanyak 70 peratus banduan, membuktikan pendekatan berkenaan adalah langkah terbaik merawat mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta kesalahan kecil berkaitan dadah.
Justeru, banyak pihak khususnya pakar dalam rawatan pemulihan dadah melihat cadangan kerajaan menggubal baharu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi membolehkan penagih mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan dalam komuniti berbanding ketika ini dihukum di dalam penjara atas kesalahan, adalah langkah tepat.
Akta baharu itu dijangka dibentangkan tahun ini (2023), melibatkan penagih dadah yang didapati bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perlu melalui hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun.
PERLU DISEGERAKAN
Mengulas mengenai isu berbangkit, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, walaupun negara agak terlambat dalam menggubal akta baharu yang seakan sama seperti Portugal dan Belanda itu, namun ia dijangka dapat memberi kesan lebih efektif dalam merawat masalah penagihan dadah di Malaysia.
"Secara umum, dunia berhadapan masalah kesesakan banduan sebanyak 70 peratus melibatkan penagih dan penjual dadah kecil-kecilan. Mereka ini perlu diberikan rawatan kerana kebanyakan mereka adalah pesakit dan bukannya berbentuk hukuman seperti dalam penjara.
"Kerana itu pelaksanaan akta baharu ini sangat dialu-alukan kerana tiga negara seperti Portugal, Sweden dan Belanda bukan sahaja dapat menyelesaikan isu kesesakan dalam penjara tetapi dapat mengurangkan masalah penagih berulang ," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Malaysia buat masa ini mempunyai sebanyak 39 penjara dengan jumlah tahanan 74,459 pesalah sedangkan keupayaan penjara negara hanya mampu memuatkan sekitar 65,000 banduan sahaja. Angka berkenaan sudah jelas menunjukkan bahawa terdapat lebihan banduan di dalam penjara di negara ini.
Menurut Dr Rusdi, pendekatan 'nyah jenayah' dalam menangani isu penagihan dadah di Malaysia ada dilaksanakan sebelum ini bagi merawat penagih opiat dengan kaedah dadah gantian Metadon atau dikenali sebagai MAT (Medication Assisted Treatment).
Selepas lebih 18 tahun dilaksanakan, konsep berkenaan dilaporkan berjaya menangani penagihan dadah opiat yang membolehkan penagih bekerja serta menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
"Kebanyakan penagih dadah merupakan penagih dadah sintetik yang mengandungi 100 peratus bahan kimia. Penagih jenis ini biasanya tidak berani untuk mendapatkan rawatan kerana boleh disabitkan kesalahan serta dihukum penjara berbanding penagih dadah opiat.
"Jika akta baharu ini dilaksanakan, penagih dadah sintetik seperti syabu, ecstacy, pil kuda, akan berani tampil untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan kendalian AADK," katanya.
Di sebalik kerajaan membelanjakan sebanyak RM500 juta setahun bagi menangani isu dadah sama ada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan penjara seluruh negara, masalah dadah masih terus membelenggu negara.
Oleh yang demikian, kata Dr Rusdi, akta baharu itu wajar segera dilaksanakan di Malaysia, memandangkan konsep 'nyah rawatan' terbukti keberkesanannya setelah dilaksanakan di beberapa buah negara Eropah.
"Penggubalan akta ini sebagai permulaan kepada proses nyah jenayah kesalahan mengambil dadah dan rawatan dalam komuniti perlu diutamakan serta diperluaskan kerana terbukti lebih kos effektif dan lebih berkesan.
"Ia mampu mengurangkan stigma masyarakat dan mengajak lebih ramai penagih mendapatkan rawatan secara sukarela. Pemerkasaan masyarakat dalam memartabatkan penagih dalam rawatan melalui pendekatan rawatan dalam komuniti mengikut pendekatan perubatan dan kemanusian dapat dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia selaras dengan Slogan Malaysia Madani, " tambahnya.
Bagaimanapun, bagi memastikan akta berkenaan lebih berkesan, beliau berkata , AADK dan Puspen perlu diperkasakan dengan meningkatkan jumlah doktor yang terlatih dalam merawat golongan tersebut.
"Ketika ini, di AADK hanya ada seorang doktor dan pembantu perubatan dan ia tidak mencukupi...sebaiknya, ia ditambah lagi bagi meningkatkan fasiliti rawatan dadah di pusat tersebut apabila akta ini dilaksanakan," tambahnya.
MAMPU ATASI STIGMA?
Selain mengatasi kesesakan di dalam penjara, akta baharu ini juga dilihat mampu mengurangkan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan banduan selain masalah tekanan dan kemurungan yang merisikokan potensi bunuh diri.
Berdasarkan satu kajian yang dijalankan Universiti Malaya di salah sebuah penjara di negara ini dan diterbitkan pada tahun 2014, didapati berlaku penularan jangkitan penyakit Tuberkulosis atau tibi yang agak tinggi dalam kalangan banduan.
Menurut Dr Rusdi, ini sudah tentu satu kerugian apabila hasil cukai rakyat digunakan untuk makanan pesalah di penjara disebabkan pemulihan yang tidak berkesan, katanya.
Beliau berkata, ketagihan dadah adalah penyakit otak kronik yang mudah berulang dan berpanjangan dan kerana itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilibatkan secara serius dalam merawat penagih dadah sepertimana kejayaan rawatan metadon yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai amalan terbaik di Asia.
Dengan pelaksanaan akta tersebut juga ia dapat mengubah persepsi masyarakat yang ketika ini melihat golongan pesalah dadah ini sebagai penjenayah, dan menjadi punca utama mereka kembali ke kancah penagihan walhal sokongan komuniti, keluarga amat diperlukan mereka kembali dalam masyarakat.
"Kesan pelaksanaan akta baharu ini kepada penagih sangat besar kerana apabila mereka dianggap banduan, masyarakat sukar menerima dan mereka akan mula memberontak.
"Tahap ini dipanggil 'memberontak' apabila mereka merasakan tidak guna berbuat baik kerana masyarakat tetap menganggap mereka penjenayah," katanya yang juga pakar psikiatri di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC).
PERLU DIPERINCIKAN
Bagi pengamal undang-undang, Muhamad Razman Sahat, biarpun akta baharu itu wajar, namun ia harus diperincikan serta diperhaluskan, khususnya yang melibatkan pesalah lama serta berulang.
"Untuk pesalah kali pertama, tindakan di bawah akta ini langkah amat baik dan sangat membantu dalam proses rawatan dan pemulihan tertuduh. Tetapi saya percaya di bawah akta ini, haruslah diperincikan dan diperhaluskan lagi khususnya pesalah lama dan berulang.
"Pada masa ini, untuk kesalahan berulang, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya dan sekiranya bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara minimum tujuh (7) tahun dan maksimum tiga belas (13) tahun serta dengan sebatan tidak kurang 3 kali dan tidak lebih 6 kali sebatan. Sekiranya kerajaan berniat untuk membuat mengurangkan kapasiti dalam tahanan, seksyen ini juga perlu diambil kira," kata peguam itu.
Ditanya adakah kes pesalah ringan melibatkan dadah akan bertambah apabila mereka tidak lagi menjalani hukuman di penjara, Muhamad Razman berkata, sekiranya hukuman yang diberikan tidak mengandungi klausa pemenjaraan, dikhuatiri mereka akan menganggap apa yang mereka lakukan itu satu kesalahan ringan.
Bagi kesan akta baharu itu terhadap pengulangan kes jenayah, Muhamad Razman berkata, pengamatannya mendapati, ada kes yang berulang dan ada juga yang benar-benar insaf dan memulakan kehidupan baharu.
"Sebelum ini, mengikut Seksyen 15(1) ADB, terdapat hukuman berbentuk rawatan dan pemulihan. Sebab itu hukuman berbentuk kaedah rawatan seperti ini harus diperhalusi sebaik mungkin bagi membantu mengurangkan kes pengulangan yang melibatkan kesalahan dadah.
"Memasukkan barang terlarang ke dalam badan bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi juga keluarga serta komuniti. Sekiranya perkara ini tidak dibendung secara baik dan menyeluruh, ia akan memberi impak negatif kepada masyarakat dan komuniti," katanya.
Mengulas kejayaan Portugal mengurangkan kes dadah secara pendekatan nyah jenayah dan wajarkah Malaysia mencontohi negara itu, beliau berkata cadangan penggubalan akta baharu yang seakan dengan konsep berkenaan adalah satu tindakan positif menangani polemik berkenaan.
"Malaysia sebuah negara membangun. Perubahan dalam undang-undang adalah satu keperluan demi mengikut peredaran masa dan walaupun kita boleh merujuk kejayaan negara lain dalam melaksanakan nyah jenayah, tetapi ia haruslah mengikut kesesuaian negara ini," katanya
-- BERNAMA
Bernama
Wed Mar 22 2023

Malaysia buat masa ini mempunyai sebanyak 39 penjara dengan jumlah tahanan 74,459 pesalah. - Foto BERNAMA
Tiga kanak-kanak antara maut akibat banjir di Gaborone
Menurut Presiden Botswana, Duma Boko, daripada jumlah kematian yang direkodkan tiga daripadanya adalah kanak-kanak.
Memasuki tahun ke-3, bukan lagi membiasakan diri
Ketika kerajaan memasuki tahun ketiga pentadbiran, cabaran utama bukan lagi untuk membiasakan diri dengan peranan dalam kabinet, sebaliknya, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, ia lebih kepada bagaimana setiap kementerian dan agensi dapat menonjolkan pencapaian yang boleh dirasai rakyat.
Thaksin Shinawatra lawat tiga wilayah selatan Thailand
Thaksin berkata, lawatan itu susulan perbincangan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Tentera Israel luaskan serangan di utara Tebing Barat
Pasukan pendudukan Israel telah memperhebat serangan di utara Tebing Barat dengan mengerahkan kereta kebal di sekitar bandar Jenin buat kali pertama sejak serangan mereka di wilayah itu pada 2002.

KPKT bentang 12 komitmen untuk kesejahteraan rakyat
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membentangkan 12 komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sempena Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI yang berlangsung semalam.
AWANI Ringkas: Dua platform jualan dalam talian diarah turunkan iklan
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

PRK DUN Ayer Kuning: Ahmad Zahid harap SPR ambil kira Ramadan
Ahmad Zahid berkata pihaknya berpendapat tidak perlu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya kecil itu memandangkan ketibaan Ramadan.

Turkiye di kedudukan ke-11 dunia dalam eksport industri pertahanan - Erdogan
Erdogan berkata negara itu berada di ambang transformasi besar dan kejayaan ekonomi yang memberangsangkan.

Polis Perak berkas 15 ahli sindiket tawar pekerjaan tidak wujud
Polis menahan 13 warga China terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 41 tahun.

Laluan udara baharu hubungkan Xi'an dengan Malaysia
Perkhidmatan penerbangan harian baharu yang menghubungkan Xi'an, China dengan Kuala Lumpur dibuka secara rasmi pada Ahad.

Israel bebaskan 32 rakyat Palestin dari Tebing Barat dalam pertukaran tawanan
Ratusan rakyat Palestin berhimpun di sekitar Ramallah untuk menyambut kepulangan tahanan yang dibebaskan, sambil mengibarkan bendera Palestin.

Tujuh premis makanan di Gua Musang ditutup - Dr Zaini
Tujuh premis yang didapati tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan Kementerian Kesihatan diarahkan tutup dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2025 di Gua Musang, semalam.

Bunuh isteri gara-gara video TikTok
Suspek menampar pipi mangsa berkali-kali, selain memukulnya di bahagian kepala, badan dan paha selain menghentak kepala mangsa pada dinding.

Gelandangan didakwa bunuh rakan
Seorang gelandangan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya yang juga gelandangan, bulan lepas.

Wanita warga Thailand didenda RM9,000 miliki 34kg minyak masak bersubsidi
Wanita itu didakwa dalam keadaan menimbulkan syak dan niat munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pelajar maut selepas didenda 'squat jump' 100 kali
Suspek bakal dikenakan hukuman penjara maksimun 15 tahun penjara.

Berkemampuan, disiplin tinggi pikat majikan gaji bekas banduan
Permintaan pekerja daripada golongan Orang Diparol dan Orang Bebas Berlesen di Melaka meningkat susulan kemampuan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan mereka dalam pekerjaan.

"Marang satu minit pun tak pernah masuk penjara" - Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution menegaskan dari aspek sejarah, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah dimasukkan ke penjara.

Ugut, khianat, cederakan kekasih: Penjual burger dihukum penjara enam bulan, denda RM1,000
Tertuduh turut diperintah menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Lelaki gagal rayuan, kekal dipenjara 10 tahun, dua sebatan kerana merompak
Seorang lelaki gagal dalam rayuan terakhirnya apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan kerana melakukan rompakan berkumpulan.