Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sini dengan nilai rampasan RM8.8 juta ringgit dalam beberapa siri serbuan.

Enam individu ditahan termasuk empat lelaki dan dua wanita, dipercayai ahli sindiket terbabit.

Selain wang tunai berjumlah RM4.3 juta, Polis juga menyita beberapa kenderaan mewah antaranya BMW, Volkswagen, Mercedes Benz selain tujuh motosikal termasuk Harley Davidson.

Pengarah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 1.29 kilogram heroin, 760 gram heroin base, dan 50.9 kilogram kafin yang dianggarkan bernilai RM200,000.

“Walaupun jumlah dadah yang ditemui tidak banyak namun kita berjaya melumpuhkan sindiket ini dengan tertangkapnya ahli sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang media.

Bagaimanapun ketua sindiket berkenaan masih bebas dan usaha menangkap suspek berkenaan akan dilakukan secepat mungkin.

Jelas Noor Rashid, ahli sindiket menyimpan wang hasil kegiatan menjual dadah itu dalam bentuk saham ASB dan Saham 1Malaysia bernilai RM3.2 juta ringgit.

Sindiket dipercayai mula bergiat aktif sejak setahun lalu

Serbuan pada Ahad dan Isnin lalu itu dilakukan di tujuh lokasi berasingan di Sungai Nibong, George Town, Sungai Dua dan Air Itam.

Semua yang ditahan berusia antara 24 hingga 43 tahun dan mereka direman sehingga 19 Julai.

Kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.