IPOH: Seorang peniaga baja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan memberi rasuah lebih RM30,000 kepada seorang penjawat awam, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lee Soon Teck, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan RM30,150 kepada pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, di sebuah premis di Parit Buntar, kira-kira jam 10.30 pagi, 8 Oktober 2018.

Ia sebagai dorongan bagi melepaskannya daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Dia juga ditawarkan tuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak sampai 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin di samping perlu melaporkan diri sekali sebulan di pejabat SPRM Taiping.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irfan Mohd Arshad.