KUALA LUMPUR: Sesi Persidangan Parlimen Hibrid yang sedang dikaji konsep dan mekanisme pelaksanaannya oleh Jawatankuasa Khas akan membuka suatu perspektif baru bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, sekiranya persidangan hibrid ini diterima dan diperkenankan oleh Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong, suatu proses inovatif akan muncul.

"Dengan terlaksananya projek legislatif ini, ia merupakan suatu usaha yang murni dan amat membina kerana dalam apa jua keadaan, Parlimen sebagai institusi induk pemerintahan demokrasi perlu berfungsi.

"Beberapa aspek penting sedang dalam penelitian Jawatankuasa Khas khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baru untuk diterima pakai.

"Ia demi memastikan tiada pelanggaran perundangan melibatkan Prosedur Standard Operasi (SOP) COVID-19," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rais berkata, Jawatankuasa Khas juga secara khusus mengambil kira himpitan pandemik COVID-19 yang melanda negara dan rakyat pada hari ini.

Ia juga mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan Pemerintahan Raja Berperlembagaan, tambahnya.

Selain itu, Jawantankuasa Khas turut sama mengambil kira implikasi kuat kuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas para pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemas kini prasarana sedia ada.

Ia membabitkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 Senator yang bertebaran di seluruh tanah air.


Jawatankuasa Khas tersebut dianggotai antara lain oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen.

"Jawatankuasa ini telah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaan sistem hibrid itu dari pelbagai sudut dan permasalahan, termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom, Australia dan lain-lain.

"Usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa pihak Legislatif dan Eksekutif amat objektif terhadap keperluan dan tuntutan semasa, khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh Ahli Parlimen dan Senator bagi mengatasi ancaman COVID-19 di Malaysia," jelasnya.

Dalam menjayakan matlamat murni dan objektif ini, kuasa-kuasa Eksekutif dan Legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen
(Keistimewaan dan kuasa) 1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan-peraturan sampingan berkaitan.

Jawatankuasa Khas ini, katanya, akan meneruskan mesyuarat susulan esok (8 Jun).