KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor yang membabitkan syarikat milik suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dijangka siap dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.


Ringkasan AI
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan siasatan mengenai dakwaan pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dijangka siap dalam tempoh sebulan dua.
  • Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan SPRM dan menegaskan bahawa seluruh rakyat, termasuk dirinya, berhak mendapatkan kebenaran dan bukti mengenai isu tersebut. Syarikat yang terlibat ialah Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, di mana suaminya, M Ramachandran, adalah Ketua Pegawai Eksekutif.
  • SPRM dalam pada itu memberikan tambahan sebulan lagi kepada Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir untuk mengisytiharkan aset mereka sehingga pertengahan September. Jika gagal, tindakan undang-undang akan diambil.


"Saya rasa dalam tempoh sebulan dua ini, siaplah kertas siasatan terbabit," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.

Turut hadir Akauntan Negara Nor Yati Ahmad, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Patimah Ramuji dan CEO Malaysian Institute of Accountants (MIA) Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis DRT oleh kerajaan Selangor, yang mengaitkan syarikat milik suaminya.

Beliau dilaporkan berkata seluruh rakyat termasuk dirinya berhak untuk mendapatkan kebenaran dan bukti berhubung perkara itu, yang turut membabitkan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang suaminya, M Ramachandran merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat berkenaan.

Sementara itu Azam berkata SPRM memberikan tambahan sebulan lagi, sehingga pertengahan September kepada dua anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan aset mereka.

"Kita sudah beri tempoh masa kepada Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir yang akan berakhir pada pertengahan September.

"Itu keputusan akhir, selepas mereka isytihar harta nanti kami akan beri perkembangan terkini mengenainya kepada pihak media," katanya.

Beliau berkata sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka SPRM akan mengambil tindakan undang-undang.

Pada 18 Jan lepas SPRM meminta kedua-dua anak Dr Mahathir, Mirzan dan Tan Sri Mohkzani, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sejak 1981, sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

-- BERNAMA