Tindakan pendakwa raya kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Shafee Abdullah, yang membuat roadshow bagi menjelaskan bahawa pendakwaan tersebut tidak bermotif politik menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak dan yang terbaru adalah daripada Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Afif Bahardin.

Menurut Afif, tindak-tanduk Shafee yang berterusan menyerang Anwar selepas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan kes tersebut tempoh hari adalah sesuatu yang tidak beretika dan bersifat tidak profesional.

“AMK Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perilaku beliau dan memberi amaran supaya beliau menghentikan perilaku sumbang ini,” kata beliau.

Tambah Afif, keberadaan beliau di dalam program Umno untuk menyerang Anwar dan kesediaan Umno menyediakan platform kepada beliau mengukuhkan lagi pendirian AMK bahawa kes tersebut adalah satu rekayasa dan konspirasi politik untuk menyerang, mengaibkan dan menzalimi Anwar.

“Perilaku Shafee ini telah menzahirkan keghairahan beliau yang ingin melobi satu ganjaran besar dari pihak Umno. Persoalan yang timbul, apakah perilaku beliau ini ada kaitannya dengan spekulasi bahawa beliau akan dilantik sebagai Peguam Negara?” soal Afif.

Beliau turut menyatakan bahawa berdasarkan rekod lalu, setiap individu yang terlibat dengan usaha menjatuhkan Anwar diberi ‘ganjaran’ dalam bentuk lantikan pangkat atau jawatan.

“AMK Malaysia turut menyeru agar barisan peguam Anwar agar bertindak merujuk Shafee ke Jawatankuasa Disiplin Majlis Peguam bagi membicarakan perilaku beliau yang telah melampaui batas profesionalisme seorang peguam apatah lagi sebagai pendakwaraya,” ujar Afif.