KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan untuk menangguhkan prosiding membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke 14 Jun depan selepas peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah disahkan positif COVID-19.

Mengikut jadual asal, prosiding pada Jumaat adalah untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy memberikan keterangan berhubung laporan akhir audit 1MDB.

Menurut peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee disahkan positif COVID-19 selepas melakukan ujian RT-PCR pada Selasa lalu.

Sebelum ini, prosiding yang sama turut ditangguhkan berikutan status kesihatan Muhammad Shafee yang tidak mengizinkan.

Mengikut jadual asal, mahkamah menetapkan Isnin lalu bagi mendengar permohonan mengikut Seksyen 63 Akta 2009 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Arul Kanda.

Ia bertujuan bagi memberi keterangan sebagai saksi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 20 Mei lalu, ketua pihak pendakwaan kes berkenaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa Arul Kanda mungkin mempunyai maklumat yang berkaitan urusan dengan Najib.

Perkara itu katanya, dikhuatiri mampu memberi kesan terhadap keputusan pendakwaan ke atas Ahli Parlimen Pekan itu yang juga bekas Menteri Kewangan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.