PADANG TERAP: Nama juadah berbuka puasa lepat bunga Chica barangkali sangat asing kedengaran bagi sebilangan besar orang di bandar-bandar besar, tetapi, di negeri Kedah, ia menjadi juadah pemanis ketika berbuka pada bulan Ramadan.

Teksturnya yang lembut berintikan kelapa menjadi pilihan penduduk di Kampung Pisang dekat Padang Terap.

Percaya atau tidak, lepat bunga Chica juga hanya dapat dinikmati setahun sekali.

Bunga Chica atau nama saintifiknya "stereospermum fimbriatum DC" hanya tumbuh di dalam hutan dan bunganya akan luruh ketika ditiup angin ketika cuaca panas terik sekitar bulan Januari hingga Mac setiap tahun.

Bagi suri rumah, Zaiton Husain, 55, aktiviti mengutip bunga Chica merupakan rutin harian baginya khususnya selepas selesai bersahur dan mengerjakan solat Subuh.

Lazimnya, Zaiton akan pergi ke kawasan hutan di hujung kampung untuk mencari bunga Chica.

“Lepas (solat) Subuh, siapkan kerja rumah dan kemudian ajak kawan-kawan mai (pergi) kutip dalam pukul 8 sebab dia luruh dalam tengah hari sikit, kalau (awal) pagi tak luruh lagi inilah hasil hari ini, balik basuh dan proses buat lepat bunga Chica," katanya.

Bunga Chica

Seperti yang disebut, Zaiton tidak keseorangan kerana dia akan ditemani rakannya Wan Tun Zakiah Wan Ibrahim, 46, dan dalam tempoh satu jam sahaja, mereka berjaya mengutip hampir lima kilogram bunga Chica.

Menurut Wan Tun, selepas mengutip bunga Chica ini akan menjalani beberapa proses sebelum dijadikan lepat.

Selepas dicuci, bunga Chica berkenaan akan dijemur di bawah cahaya matahari dalam tempoh melebihi lima jam bagi memastikan ia betul-kering.

“Bunga ini dia jadi setahun sekali sahaja, jadi dalam musim kemarau macam ini daun dia luruh selepas itu bunga ini akan luruh sendiri (jadi) kita kutip kita, jemur dalam dua tiga hari bagi dia kering betul-betul.

“Lepas itu kita kisar bagi halus dan boleh simpan untuk jangka masa setahun atau dua tahun simpan dalam peti ais untuk daripada berlakunya bau hapak ataupun rosak,” kata Wan Tun.







Bagi Bashah Abdullah, 63, pula lepat bunga Chica lebih enak apabila terus dimasak sebaik bunganya dikutip kerana aroma wangi akan keluar sebaik dikukus.

Katanya, bunga Chica yang siap dikutip akan dicuci dengan bersih sebelum dicampur dengan santan, tepung beras, gula dan garam dan dikisar sehingga halus sebelum dibalut dengan daun pisang hutan.

Menurut Bashah, untuk menghasilkan lepat bunga Chica perlu ketelitian sekiranya tersilap sukatan akan menyebabkan lepat itu tidak sedap.

“Kisar dengan santan bancuh (gaul) dengan minyak muda lepas tu bancuh dengan tepung lepas tu barulah kita dapat hasil… aroma lepat bunga Chica tak sama dengan lepat-lepat lain,” cerita Bashah.

Dalam masa sama, Bashah mengingatkan teknik membungkus lepat juga penting kerana, jika tersilap melakukannya, air kukusan akan masuk mengenai tepung menyebabkan lepat menjadi lembik.

Katanya, selain itu bunga Chica yang menjalani proses pengeringan akan dikisar untuk dijadikan serbuk.

Selain daripada lepat bunga Chica ini turut enak dibuat lompang, kuih koci dan tepung bungkus.

“Bunga Chica ini sedap, kita boleh buat lompang, tepung bungkus dan kuih koci, kalau bulan puasa buat kuih koci bunga chica rasanya sedap dia lemak manis… aroma dia itu yang penting,” katanya lagi.



Bashah turut memberitahu, lepat bunga Chica ini menjadi juadah wajib keluarganya sepanjang bulan Ramadan kerana ia pembuka selera ketika berbuka puasa.

Bagi memastikan juadah ini akan terus diingati dan dinikmati generasi akan datang, Bashah menurunkan petua menghasilkan lepat bunga Chica itu kepada anak serta menantunya supaya resepi itu tidak lari dari asal.

Sementara itu, cucunya, Nor Amani Mohd Ridzuan, 11, berkata setiap hari dia akan meminta neneknya untuk membuat kuih dari bunga Chica.

Malah dia akan meminta neneknya itu membuat lebih untuk diberikan kepada jiran berdekatan supaya sama-sama dapat merasai keenakannya.

“Lepat bunga Chicha sangat sedap kerana aroma dia wangi, lembut manis dan rasanya sangat sedap,” kata Nor Amani.