IPOH: Seorang banduan warga Iran yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah didapati memiliki dadah jenis heroin, tengah hari semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata hasil pemeriksaan pegawai penjara menemukan dua peket berisi bahan berwarna kuning seberat 46 gram dan satu peket mengandungi bahan berwarna merah jambu dengan anggaran berat 30 gram pada lelaki berusia 39 tahun itu.

"Semasa pegawai penjara menjalankan tugas rondaan di Dewan Penjara Tapah mendapati suspek sedang duduk bersendirian menghadap dinding dalam keadaan mencurigakan dan mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna merah jambu ke atas lantai semasa pegawai penjara tersebut menghampirinya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua bahan itu dipercayai dadah jenis heroin bernilai keseluruhan RM1,900 dan boleh digunakan seramai 50 penagih dadah.

Azizi berkata banduan berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun sejak 2018 selain turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dari mana dan bagaimana dadah berkenaan boleh dibawa masuk ke penjara tersebut.

"Kita juga akan menyiasat sekiranya suspek warga Iran ini berkemungkinan ada kaitan dengan kes menyeludup dadah ke dalam penjara menggunakan dron (kes berlaku Jumaat lepas)," katanya.

Jumaat lepas polis mengesan cubaan menyeludup dadah ke dalam penjara Tapah menggunakan dron berikutan penemuan peralatan itu di kawasan sekitar.

Hasil pemeriksaan menemukan satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit berisi tiga peket plastik serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 122 gram dan dua peket plastik berisi ketulan kristal disyaki metamfetamina dengan anggaran berat 12.9 gram.

-- BERNAMA