KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih berhati-hati dan merangka pelan khusus sebelum sesi persekolahan dibuka semula termasuk membenarkan pelajar kelas peperiksaan kembali ke sekolah lebih awal.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ia termasuk memastikan sekurang-kurangnya kumpulan pelajar berkenaan dan para guru divaksinasi terlebih dahulu.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan sekiranya bekalan vaksin mencukupi dan mekanisme pemberian vaksinasi yang lebih cepat dapat dilaksanakan.

"Kami pun telah banyak kali mengadakan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan (berkaitan) dan kali ini kita rasa kena buat dengan betul dan tidak dikatakan 'buka tutup, buka tutup'.

"Jadi, yang mesti kita buat ialah rancang betul-betul. Pertama, kumpulan mana yang kita akan berikan dulu dan kedua apa langkah kita?

"Langkah utama kita mesti buat ialah pemberian vaksin dan kedua pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"SOP itu kita mesti pantau betul-betul dan kita mesti ada mekanisme bagaimana nak memastikan warga pendidik, warga sekolah dan ibu bapa yang menghantar (anak-anak) ke sekolah itu betul-betul diperhatikan," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin mengakui bahawa SOP di peringkat persekolahan perlu lebih ketat.

Katanya, langkah tersebut antaranya ialah menjalankan ujian saringan ke atas mereka yang mempunyai gejala COVID-19.

"Kedua, kita mesti juga perketatkan sesiapa yang ada sejarah daripada kluster, (dari) kawasan kes dan sebagainya supaya kita dapat hadkan kedatangan mereka ke sekolah.

"Ketiga ialah sijil vaksinasi. Jadi, tiga perkara ini mesti dibuat kalau tidak kita akan panik dan tutup balik (sekolah)," kata beliau.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pelajar kelas peperiksaan dibenarkan kembali ke sekolah lebih awal daripada Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, bagi menyokong permohonan itu, KPM juga memohon kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) supaya pemberian vaksin kepada guru dan pelajar kategori itu dipercepatkan.