KUALA LUMPUR: Pengunduran pasukan pengaman termasuk Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang menyertai misi di Lubnan akan diputuskan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) dan persetujuan bersama 50 negara yang terlibat.

Memberitahu Dewan Rakyat, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata walaupun acaman semakin meningkat di selatan Lubnan, tetapi Malaysia tidak akan mengambil tindakan unilateral atau bersendirian melibatkan penyertaan pasukan MALBATT 850-11.

Jelas beliau lagi, pasukan pengaman yang menyertai misi tersebut sudah mempunyai plan yang disediakan, jika keadaan meruncing dan semua operasi serta pergerakan adalah di bawah tanggungjawab UNIFIL.

"Keputusan sama ada undur atau tidak, bergantung kepada keputusan UNIFIL dan juga persetujuan bersama semua negara yang terlibat menghantar pasukan pengaman iaitu seramai 50 buah negara termasuk Malaysia, dan bukan tindakan unilateral kita bersendirian.

"Untuk makluman, Indonesia pun yang mana tentera mereka terlibat cedera akibat serangan Israel, Menteri Luar (Indonesia) membuat kenyataan pada 14 September lalu, mereka akan terus bersama menjayakan pasukan pengaman di bawah UNIFIL. Walaupun cedera, pertama bukan untuk berundur atau menarik diri," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang mahu tahu keselamatan Pasukan MALBATT di Lubnan.

Ikmal turut mahu tahu aadakah pasukan MALBATT dibenarkan membuat tembakan balas jika kedudukan mereka diserang oleh Israel.

Menjawab pertanyaan tersebut, Mohamed Khaled menjelaskan pasukan pengaman dibenarkan untuk membalas tembakan bagi tujuan perlindungan diri jika berlaku serangan.

"Maka boleh untuk kita membalas tembakan dan sebagainya tetapi untuk lakukan serangan ofensif adalah tidak dibenarkan.

"Ini kerana peranan dan tanggungjawab UNIFIL adalah sebagai pengaman, tetapi kalau ia diserang, untuk pertahanan diri boleh dilakukan," ujar beliau lagi.

Mengenai fasiliti dewan bedah pula, Mohamed Khaled memaklumkan ia disediakan oleh UNIFIL dan terletak kira-kira satu jam dari kem MALBATT, selain di kem pasukan Malaysia turut memiliki kemudahan asas merawat pada tahap dua.

Dalam masa sama, beliau berkata pasukan MALBATT juga menjalinkan kerjasama dengan hospital tempatan.