KUALA LUMPUR: Polis Selangor membuka kertas siasatan berkaitan kes tatatertib dan jenayah terhadap seramai 311 pegawai dan anggota sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata daripada jumlah itu, 33 anggota telah dituduh di mahkamah, 14 digantung kerja dan 21 anggota dibuang kerja dengan kesalahan antaranya terbabit dengan kes jenayah, dadah, dan pelanggaran tatatertib selain kes melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Walaupun angka ini kecil berbanding kekuatan polis Selangor iaitu 15,000 anggota tetapi kita melihat setiap kes itu sesuatu yang serius daripada segi pelanggaran tatatertib dan undang-undang, tindakan tegas maksimum akan diambil," katanya pada sidang media khas di Batu Caves, hari ini.

Hussein berkata pegawai penyelia juga akan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyelia anggota masing-masing mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau berkata, seramai 167 anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sudah berkhidmat selama lima tahun akan dimobilisasi ke unit lain dan akan diganti oleh anggota unit lain.

Katanya tindakan ini diambil bagi memperkasa perkhidmatan MPV dan memudahkan pihaknya mengenal pasti anggota bermasalah.

"Mobilisasi ini kita memberi peluang kepada anggota lain untuk bertugas dalam MPV...ini salah daripada cara supaya mereka tidak jemu melakukan tugas dalam tempoh lama dan ini memberikan persekitaran baharu," katanya.

Hussein berkata tindakan tersebut sebagai langkah drastik yang dilakukan kontinjen Selangor susulan dua kes jenayah yang membabitkan salah laku anggota baru-baru ini.

Selain itu, Hussein berkata bagi bulan ini seorang pegawai dan 10 anggota telah dituduh di mahkamah kerana melakukan kesalahan jenayah.

Hussein berkata pihaknya turut menubuhkan dua pasukan khas di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi memantau secara berterusan anggota dan pegawai kontinjen Selangor.

-- BERNAMA