SHAH ALAM : Seorang lelaki warga Indonesia maut manakala tiga lagi cedera ringan apabila dua tangki minyak mentah terbakar di kilang Emery Oleo Chemical di kawasan Industri Telok Panglima Garang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.36 petang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang, Banting dan Andalas bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa maut ketika melakukan kerja kimpalan dan akibat letupan, beliau terjatuh dari aras tinggi lebih kurang 10 meter,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mengikut laporan, kebakaran itu menyaksikan dua tangki minyak mentah terbakar sebanyak 50 peratus dan terletak di kawasan kilang berkeluasan 100x100 kaki persegi.

Katanya pemadaman api selesai sepenuhnya pada 6.45 petang.

-- BERNAMA