JASIN: Suspek kelima kes tetak dan bunuh seorang lelaki di sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru pada Ahad lepas direman tujuh hari bermula hari ini hingga 3 Sept depan.


Ringkasan AI
  • Suspek kelima dalam kes tetak dan bunuh di Taman Rim Baru direman tujuh hari bermula hari ini hingga 3 September.
  • Mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun, maut selepas ditetak oleh sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut.
  • Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan suspek berusia 23 tahun ditahan semalam.


Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan reman berkenaan selepas suspek lelaki berusia 23 tahun itu ditahan semalam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di taman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi dilaporkan berkata dalam kejadian 8.39 malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang cedera sempat menghubungi adik lelakinya berusia 22 tahun untuk membawanya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 10.15 pada hari yang sama ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan manakala adiknya turut dikejar kumpulan penjenayah berkenaan namun berjaya menyelamatkan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA