KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak berkepentingan, termasuk perniagaan, masyarakat serta individu agar terbabit aktif dalam mencapai masa depan mampan selain mewujudkan sinergi untuk memacu perubahan bermakna bagi Malaysia.


Ringkasan AI
  • PM Anwar Ibrahim menggesa semua pihak untuk terlibat aktif dalam mencapai masa depan mampan dan memacu perubahan di Malaysia.
  • Beliau menekankan penerapan prinsip ESG memerlukan anjakan minda, bukan sekadar pematuhan.
  • Malaysia mengutamakan penyahkarbonan dan kelestarian dalam konsep pembangunan negara MADANI.


Ketika menegaskan perkara itu, beliau turut menekankan bahawa penerapan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melangkaui aspek pematuhan semata-mata dan memerlukan anjakan minda untuk mencapai prinsip pengawasan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan kecemerlangan tadbir urus.

Pada masa sama, Malaysia juga perlu mengakui bahawa usaha mencapai sasaran pelepasan sifar bersih memerlukan penglibatan semua pihak iaitu kerajaan, sektor swasta dan rakyat.

“Di Malaysia, kita telah mengambil pendirian yang progresif ke arah penyahkarbonan dan agenda kelestarian yang lebih besar.

“Malah, konsep MADANI yang merupakan etos pembangunan negara, meletakkan aspek kemampanan sebagai salah satu daripada tujuh prinsip terasnya," kata beliau pada majlis pelancaran Konsortium Impak Positif ESG (A-EPIC) pertama di Asia di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited dalam penerapan prinsip-prinsip ESG ke dalam tadbir urus dan memastikan masa depan lebih mampan dan sejahtera untuk generasi akan datang.

Kerajaan juga telah melaksanakan dasar pelbagai aspek yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan kesaksamaan sosial, mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dalam ekonomi hijau serta memastikan tadbir urus yang telus.

Di samping itu, Perdana Menteri berkata dana yang besar telah diperuntukkan bagi tenaga boleh baharu, pertanian lestari dan pengangkutan hijau, sekali gus memaparkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan jejak karbon negara dan menggalakkan amalan lestari.

“Dalam kita berhimpun pada hari ini, kita juga amat menyedari mengenai cabaran yang dihadapi seperti keadaan suhu yang lebih panas, ribut lebih teruk serta kemarau yang ketara. Malaysia juga tidak terkecuali...sesuatu yang tidak dijangkakan dan sudah semestinya menjadi cabaran besar.

“Memandangkan 2024 dianggap sebagai tahun paling panas dalam sejarah, perlu diingatkan bahawa ini semua bukan lagi risiko secara teori tetapi satu realiti yang dialami di serata dunia,” katanya.

Atas alasan itu, Perdana Menteri yakin pembentukan A-EPIC adalah tepat pada masanya yang dapat memanfaatkan peranan tiga kumpulan media yang berbeza dalam memudahcara tindakan bersama membabitkan pihak berkepentingan, perniagaan serta masyarakat.

“Konsortium Impak Positif ASIA ESG ini memberi pencerahan peranan-peranan media dan memberikan dukungan kepada suatu dasar yang yang diterimapakai oleh ketiga-tiga negara (yang) konsisten dengan ESG.

“Jadi saya fikir pengalaman Malaysia, Indonesia dan Filipina, (secara bersama) dapat melihat kekuatan masing-masing untuk diperbaiki dan dipertingkat,” kata beliau kepada media selepas majlis pelancaran itu.

A-EPIC merangkumi Star Media Group (SMG) dari Malaysia, Kumpulan Media Kompas Gramedia (KG Media) dari Indonesia serta Inquirer Group of Companies (IGC) dari Filipina yang bertujuan melonjakkan kesedaran ESG di seluruh ekosistem perniagaan di rantau ini selain mempercepat penerimagunaan dalam media arus perdana untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan awam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMG Chan Seng Fatt berkata hanya 25 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia bertindak melaksanakan amalan ESG yang membuktikan keperluan dari segi kesedaran dan sokongan lebih besar ketika kebanyakan mereka masih bergelut dengan kerumitan ESG dan matlamat kemampanan yang luas.

“Oleh itu, menerusi kuasa kolektif yang menjangkau melebihi 123 juta orang, kita dapat membayangkan Asia yang mampan menerusi kerjasama media yang mempromosikan alam sekitar, sosioekonomi dan tadbir urus yang progresif serta komitmen bagi masa depan sejahtera yang merentasi seluruh rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KG Media Andy Budiman pula berkongsi komitmen konsortium itu untuk mengetengahkan dan mengukuhkan usaha tempatan yang mempunyai impak, memperjuang kemampanan sebagai standard baharu dan memperkasakan perniagaan dan komuniti menerusi strategi media yang berani.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif IGC Rudyard Arbolado menyifatkan penyertaan dalam A-EPIC tidak hanya menjadi pengiktirafan terhadap penglibatan sebelum ini, sebaliknya satu ikrar untuk menguatkan impak kolektif melalui pendekatan secara kerjasama serta inovatif.

- BERNAMA