BINTULU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar nama Jepak Jaya sebagai nama baharu kepada semua kawasan di seberang bandar Bintulu.

Ia sebagai kawasan pembangunan semula yang dirancang di kawasan bandar seberang Bintulu dan melibatkan sepuluh kampung termasuk Kampung Jepak Hulu, Kampung Jepak Tengah dan Kampung Jepak Hilir.

Menurutnya, ia sebagai usaha menyeimbang pembangunan di kawasan Jepak sama seperti Petra Jaya di Kuching.

“Bukan mudah untuk memulakan pembangunan bandar baru di sini dan kita tahu bandar Bintulu memang sudah membangun. Jadi saya cadangkan supaya kita bangunkan kawasan ini daripada Kampung Jepak ke Jepak Jaya,” katanya.

Abang Johari berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Semula Bandar Bintulu (Stage 1) di Jepak, Bintulu, pada Selasa.

Selain itu, dengan pembangunan semula kawasan seberang di Bintulu ini, ia akan mampu mengurangkan harga tanah dan rumah berbanding harga yang tinggi di kawasan bandar ketika ini.

“Kalau kita bangunkan ini, semestinya kita mahukan kawasan baharu dilengkapi rumah dan lot kedai disini.

“Selain itu, kita mahukan jumlah penduduk yang bertambah dan harga rumah yang tidak melambung. Kalau harga rumah sampai RM1 juta siapa yang dapat beli.. maka saya rancang pembukaan kawasan ini untuk rakyat,” tambahnya.

Untuk itu beliau sudah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survey Sarawak untuk menyediakan tujuh ribu lot tanah bagi pembinaan rumah mampu milik yang akan dibangunkan mengikut fasa.

Tambahnya pemberian tersebut melibatkan satu lot dan bersamaan 12 poin.