Jangan ingat anda terlepas, anda sedang diperhatikan!

Demikian tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aktiviti kegiatan pembolosan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, pihaknya kini sedang bekerja rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti kumpulan dan anggota penguatkuasa yang terlibat.

"Tugas kami adalah untuk memastikan kegiatan rasuah tidak berulang. Oleh sebab itu, alasan kami mendedahkan (visual kegiatan) mereka adalah untuk memberitahu bahawa mereka sedang diperhatikan, dan kami sudah tahu mengenainya," katanya.


Latheefa berkata demikian pada sidang media khas selepas SPRM mendedahkan visual berdurasi 11 minit memaparkan kegiatan penyeludupan, melalui pagar sempadan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar, di sini, hari ini.

Jelasnya, alasan pihaknya baharu mendedahkan kegiatan tersebut berikutan ribuan kompilasi video yang diterima SPRM memerlukan penelitian, sebelum ia dikeluarkan sebagai bahan bukti.


Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan tersebut turut dibantu oleh agensi penguatkuasa lain termasuk anggota Imigresen, Kastam dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Urusan pertukaran shif (kerja) adalah jatuh kepada tanggungjawab PDRM dan PDRM boleh mengenal pasti pegawai yang terlibat. Sebab itu tujuan kami mengaburkan tarikh dan wajah pegawai adalah untuk tujuan keselamatan.

"Ini adalah contoh (aktiviti rasuah) dan kami sedang memantau semua sempadan negara. Ia tidak hanya melibatkan PDRM, tetapi juga (SPRM) berhubung dengan Imigresen dan Kastam," jelasnya.

BACA: Sempadan negara dibolosi, anggota penguatkuasa 'buta' mata