Mahkamah Sesyen Sepang hari ini membebaskan tanpa sabitan sembilan warga Australia yang memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang ketika menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia di litar Sepang Ahad lalu.

Kesemua mereka sebelum itu didakwa mengikut seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan seksyen 14 kanun sama iaitu berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Kesemua mereka mengaku bersalah diatas pertuduhan.

Sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ahad lalu, polis menahan sembilan lelaki warga Australia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas didakwa menghina negara dengan memakai seluar dalam Jalur Gemilang.

Mereka kemudian direman empat hari bagi membantu siasatan.

Antara yang ditahan itu adalah Jack Walker, iaitu penasihat Menteri Industri Pertahanan Australia, Christopher Pyne.