SEREMBAN: Sebanyak sembilan buah gerai makanan musnah dalam satu kebakaran di hadapan Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran deretan gerai tersebut pada jam 7.16 malam.

"Setiap gerai berkeluasan 10x10 kaki persegi dan daripada sembilan gerai berstruktur kayu yang terlibat itu, empat daripadanya musnah 100 peratus manakala lima lot lagi terbakar 25 peratus.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran tersebut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya dalam kenyataan di sini. - BERNAMA