"Ehh, lagu Rukun Negara? Tak pernah dengar pun, tak sangka kita ada lagu khas untuk Rukun Negara. Ini pertama kali mendengarnya.
"Yang saya tahu, kita ada pelbagai jenis lagu patriotik tetapi itu semua lebih fokus kepada menghargai kemerdekaan dan perajurit negara. Kalau yang khusus lagu Rukun Negara, memang tidak pernah tahu wujud".
Itu respons beberapa rakan penulis ketika diminta pandangan mereka mengenai dua buah lagu yang dicipta khusus untuk Rukun Negara yang diperdengarkan semasa pelancaran sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, baru-baru ini.
Pada majlis penuh bermakna itu, lagu bertajuk Rukun Negara hasil ciptaan dan gubahan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail, didendangkan oleh penyanyi terkenal kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah bersama penyanyi yang popular dengan nyanyian lagu patriotik, Roy.
Ia kemudian disusuli dengan persembahan Datuk Syafinaz Selamat bersama dua lagi penyanyi yang sedang meningkat naik, Afieq dan Wani menyampaikan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil ciptaan komposer terkenal negara, Datuk Wah Idris.
Hakikatnya, kedua-dua buah lagu itu bukanlah dicipta khusus sempena sambutan Jubli Emas Rukun Negara yang berlangsung selama tiga bulan bermula Khamis lepas tetapi ia adalah lagu yang sudah dihasilkan pada 2007 semasa kempen berkaitan dengannya sebelum ini.
Cuma, sejajar dengan peredaran masa bagi memenuhi rentak genre muzik terkini, lagu berkenaan diberi nafas baharu selain pembabitan penyanyi senior yang mempunyai ramai peminat seperti Syafinaz dan artis baharu bagi menambat hati pendengar.
MANA SILAPNYA?
Sebelum ini, lagu Lima Prinsip Rukun Negara dinyanyikan sendiri oleh penciptanya, Wah bersama anaknya, Natasha Ines Wah Idris manakala lagu ciptaan Mokhzani berjudul Rukun Negara, kekal dengan penyanyi asalnya, Dayang Nurfaizah dan Roy.
Biarpun demikian, mengapa masih ramai tidak tahu mengenai kewujudan lagu ini? Walhal, ia sudah lama dicipta, malah usianya pun sudah menghampiri lebih satu dekad, yakni 13 tahun, namun masih ada lagi yang terpinga-pinga bila ditanya mengenai lagu berkenaan.
Di mana silapnya dan mengapa lagu yang dicipta khusus untuk menggalakkan penjiwaan Rukun Negara dalam sahsiah kehidupan masyarakat ini seolah-olah 'dipandang sepi'?
Berpeluang bertemu dengan Wah baru-baru ini, beliau yang juga ikon komposer bertaraf antarabangsa kelahiran Ipoh, Perak ini menyuarakan rasa kegembiraannya kepada Bernama apabila lagu gubahannya itu terpilih untuk diperdengar kembali bersempena sambutan penuh bermakna selama tiga bulan ini.
Sedikit pun tidak pernah menyangka lagu berjudul Lima Prinsip Rukun Negara itu terpilih untuk menyemarakkan lagi sambutan Jubli Emas Rukun Negara, beliau mengharapkan lagu itu dapat membantu masyarakat untuk lebih menjiwai prinsip berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan itu, beliau tidak menafikan bahawa jauh di sudut hatinya turut merasa terkilan apabila lagu yang sudah lama diciptakannya itu termasuk lagu patriotik gubahan komposer lain kurang mendapat perhatian stesen televisyen mahupun radio tempatan untuk dimainkan.
Bersifat sekadar 'bermusim', biasanya lagu bergenre sebegini hanya berkumandang semasa bulan kemerdekaan sekali gus dilihat sebagai antara faktor yang menyebabkan ramai tidak menyedari kewujudan pelbagai lagu patriotik yang ada ketika ini termasuklah lagu Rukun Negara.
'ASET' TIDAK DIMANFAATKAN
Hakikatnya, ia bukanlah isu baharu. Malah, polemik ini jugalah pernah diutarakan sebelum ini oleh penulis lirik lagu terkenal, Habsah Hassan mahupun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang melihat isu itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan.
"Sayanglah, kita sudah lama ada aset (lagu Rukun Negara) tetapi tidak dimainkan oleh stesen televisyen dan radio kerana dikatakan tidak ada nilai komersial. Bukan saja lagu Rukun Negara, tetapi juga lagu patriotik lain yang dicipta oleh komposer tempatan.
"Memang ada rasa terkilan juga sebenarnya kerana lagu Rukun Negara hanya ada tiga buah sahaja iaitu ciptaan saya, Datuk Mokhzani dan seorang lagi komposer pada zaman 70-an. Tidak banyak lagu Rukun Negara berbanding lagu patriotik lain.
"Jadi, apabila ia jarang dimainkan di radio dan televisyen, mereka yang sebelum ini pernah dengar mungkin sudah lupa. Manakala, yang langsung tidak pernah dengar, tidak akan tahu kewujudan lagu itu sehinggalah ia diaktifkan kembali semasa sambutan Jubli Emas Rukun Negara baru-baru ini," kata Wah.
Berkecimpung dalam industri muzik sebagai komposer selama lebih 30 tahun, bapa kepada dua orang anak ini bukanlah calang-calang individu malah telah menghasilkan begitu banyak lagu untuk artis ternama negara, syarikat korporat selain lagu berunsur patriotik.
Malah, antara lagu bercorak kenegaraan gubahannya yang menjadi siulan ramai sehingga hari ini adalah lagu tema bersempena Sukan Komanwel 1998 berjudul 'Standing In The Eyes Of The World' yang dinyanyikan oleh ratu rock negara, Ella. Baru-baru ini lagu ini juga menjadi lagu khas untuk sambutan kemerdekaan Amerika Syarikat.
TIADA NILAI KOMERSIAL?
Justeru, beliau mengharapkan semua pihak khususnya stesen televisyen mahupun radio memainkan peranan mereka dalam menyemarakkan lagi lagu Rukun Negara serta lagu patriotik lain dan seeloknya ia diputarkan sepanjang masa, bukannya semasa Bulan Kebangsaan sahaja.
"Memandangkan lagu saya Lima Prinsip Rukun Negara dan lagu Datuk Mokhzani, Rukun Negara, diperdengarkan kembali semasa sambutan Jubli Emas Rukun Negara, jadi, diharapkan ia menjadi detik permulaan untuk lagu ini terus diputarkan sepanjang masa.
"Dalam hal ini, semua harus memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia. Saya dan Datuk Mokhzani, sebagai pencipta lagu, telah menghasilkan banyak lagu patriotik termasuklah lagu Rukun Negara bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara.
"Dan sekarang, adalah peranan radio dan televisyen untuk turut sama tampilkan sumbangan mereka dengan memainkan lagu itu dan bukannya hanya bergantung kepada RTM. Kita tidak suruh mainkan banyak kali, cuma mungkin dalam sehari, ada dua, tiga kali ia diputarkan.
"Apabila banyak kali didedahkan, lagu yang dianggap tidak sedap didengar awalnya, lama-kelamaan orang akan jadi suka juga. Paling penting, lagu sebegini mampu membangkitkan semangat patriotik kepada negara," kata penerima anugerah Grand Master Brand Icon Leadership Award BrandLaureate 2017 ini.
Akan tetapi, benarkah lagu Rukun Negara dan patriotik lain tidak ada nilai komersial?
Mengulas mengenainya, Mokhzani yang juga pemain piano negara dan pernah melakar nama dalam Malaysia Book Of Records pada 2015 sebagai anak Malaysia pertama dilantik sebagai duta piano terkemuka jenama Hagspiel buatan Jerman yang berpusat di China, berkata trend penghasilan lagu bergenre berkenaan sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.
Sambil merujuk lagu Rukun Negara ciptaannya dan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil gubahan Wah, kedua-dua lagu berkenaan bersifat lebih 'catchy', pop dan terkini mengikut rentak peredaran masa serta kehendak masyarakat khususnya anak muda.
"Berbanding sebelum ini, sekitar tahun 50-an, lagu patriotik lebih menjurus kepada konsep 'marching' bagi membangkitkan semangat dalam sanubari. Namun, perkembangan muzik semasa memperlihatkan lagu patriotik termasuklah lagu Rukun Negara diolah dan diberi nafas baharu, lebih ke arah pop kontemporari bagi menarik minat masyarakat.
"Contoh lain, lagu Gemilang ciptaan Aubrey Suwito dan lirik Asmin Mudin dendangan Jaclyn Victor. Orang lupa ia sebenarnya adalah lagu patriotik dan lagu ini mendapat sambutan menggalakkan. Ini menunjukkan lagu kenegaraan turut diminati ramai," katanya.
MUZIK SEJAGAT
Ada sebabnya mengapa lagu sebegini perlu diputarkan sepanjang masa dan bukannya sekadar tertumpu pada Bulan Kebangsaan mahupun pertandingan sukan bertaraf antarabangsa, jelas Mokhzani.
Ini kerana lagu berkenaan mempunyai potensi tinggi bukan sahaja membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk lebih mengingati lima prinsip Rukun Negara bahkan juga menjiwai makna tersirat di sebaliknya.
Seperti diketahui, lima prinsip Rukun Negara - Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan Dan Kesusilaan - yang bermatlamat mencapai perpaduan lebih erat kalangan rakyat, sebenarnya sudah lama diterjemahkan menerusi muzik.
Ini memandangkan muzik bukan lagi dilihat sekadar hiburan, namun telah diangkat sebagai 'bahasa sejagat' yang mempunyai kuasa istimewa menyatukan pelbagai bangsa sepertimana yang diinginkan dalam Rukun Negara.
"Muzik ialah bahasa sejagat yang difahami oleh semua bangsa, berlainan latar belakang, tak kira apa fahaman sekali pun. Ianya bahasa penyatuan yang dapat menimbulkan rasa kekitaan dan tanggungjawab sesama masyarakat bersesuaian dengan konsep muzik yang mana irama dan lagu saling memerlukan.
"Kerana itu, muzik dilihat sebagai medium terbaik yang mampu berdiri sebagai satu wahana atau penghubung antara kita.
"Misalnya, apabila semua menyanyikan lagu Rukun Negara atau patriotik lain tanpa mengira bangsa dengan penuh semangat, ia sebenarnya secara tidak langsung memberi impak sangat besar dalam menyemarakkan perpaduan antara satu sama lain," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jul 15 2020
Mokhzani (kiri) bersama Wah ketika ditemui Bernama pada sesi temu bual eksklusif sempena Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 di Wisma Radio RTM baru-baru ini.
Ringgit ditutup rendah selepas kenaikan selama tiga hari
Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan lebih rendah susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat kenaikan selama tiga hari berturut-turut, sebelum ini.
Dua beranak mengaku tidak bersalah tipu pelaburan durian
Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan pelaburan perniagaan durian di Singapura, tahun lalu.
Bachok jajahan pertama Kelantan dilanda banjir, sebuah PPS dibuka
Bachok menjadi daerah pertama di Kelantan yang dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Rabu lepas, dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.
SPRM masih siasat isteri dan keluarga Daim
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan ke atas keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhubung perolehan aset-aset di luar negara masih diteruskan.
[TERKINI] Bachok daerah pertama dilanda banjirm hujan berterusan sejak Rabu
Bachok menjadi daerah pertama di Kelantan dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Rabu dan sebuah PPS dibuka.
Pendekkan waktu bekerja tidak jejas produktiviti sektor awam - CUEPACS
Cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk melaksanakan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah tidak akan menjejaskan produktiviti sektor awam.
AWANI Borneo [22/11/2024] – Masuk laluan bertengangan | Rampasan lebih RM20 | Kedudukan Sabah strategik
AWANI Borneo Jumaat, 22 November 2024 bersama Assim Hassan
Lari dari pemeriksaan polis punca kemalangan korbankan lapan nyawa di Sarikei.
Ops Tiris: KPDN Sarawak catat 119 kes, nilai rampasan lebih RM20 juta
Kedatangan pelancong China ke Sabah meningkat 905.9 peratus
Lari dari pemeriksaan polis punca kemalangan korbankan lapan nyawa di Sarikei.
Ops Tiris: KPDN Sarawak catat 119 kes, nilai rampasan lebih RM20 juta
Kedatangan pelancong China ke Sabah meningkat 905.9 peratus
PBB beri amaran lebih 2 juta nyawa penduduk Gaza terancam akibat sekatan berterusan
PBB memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza, dengan lebih dua juta nyawa rakyat Palestin kini terancam.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam lawat Petronas
Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam mengadakan lawatan ke Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Menara Berkembar Petronas hari ini.
Sarawak labur RM100 bilion bangunkan prasara bertaraf dunia
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan ia antara agenda meningkatkan pendapatan Sarawak yang akan dilaksanakan dalam fasa kedua PCDS bermula 2025.
The Knights Award: Astro terus cemerlang, rangkul anugerah Rangkaian Media Terbaik Sepanjang Masa
Astro Malaysia Holdings Bhd terus mengorak kejayaan sebagai syarikat penyedia kandungan dan hiburan terkemuka negara, apabila dinobatkan sebagai Rangkaian Media Terbaik Sepanjang Masa.
Pertunjukan Great British Circus di Kota Bharu hanya tampilkan ahli lelaki
Persembahan Great British Circus yang dijadualkan pada 26 Okt-17 Nov itu tidak menampilkan ahli sarkas wanita yang mendedahkan aurat.
DBP perlu diberi kuasa perundangan martabatkan bahasa Melayu
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa perundangan bagi mempertahankan identiti dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Aktiviti hiburan, bunyi-bunyian muzik pada malam Jumaat dilarang di Kelantan - Exco
Hilmi Abdullah berkata perkara itu termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
Azlee stabil, dalam pemantauan IJN - Yassin
Rakan artis yang juga anggota Senario, Yassin memaklumkan Azlee berada dalam keadaan baik dan dalam pemantauan IJN.
THSS: Datin Alyah tarik diri daripada pertandingan
Alyah yang terpaksa mengundurkan diri daripada pertandingan mendoakan agar para peserta lain meneruskan dengan sehabis baik.
Gara-gara tersiku, lelaki maut ditumbuk
Gara-gara tersiku ketika berjalan dipercayai punca tercetusnya pergaduhan antara dua lelaki yang berakhir dengan kematian di sebuah pusat hiburan, awal pagi Sabtu lepas.
Anuar Zain rai ulang tahun ke-54 bersama 1,000 peminat
Anuar menghargai peminat yang tidak jemu menyokongnya dan menjadi tulang belakang hingga mampu bertahan empat dekad.
Kanak-kanak Palestin terbang layang-layang, imbas kembali aktiviti sebelum perang
Kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel dilihat menerbangkan layang-layang berwarna-warni di kawasan perkhemahan sementara mereka di Rafah.
Pihak berkuasa Thailand hantar pulang suspek kes bunuh ke Malaysia
Seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang disyaki membunuh pekerjanya telah ditahan di lapangan terbang Bangkok pada Ahad dan dihantar pulang ke negara asal pada Isnin.