Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu termasuk pengarah sebuah syarikat berhubung kesalahan menyeleweng dengan tidak menyerahkan wang pampasan hampir RM2 juta, yang diputuskan oleh mahkamah berhubung satu projek pembinaan hospital.

SPRM menahan pengarah syarikat terbabit dan pengurus besarnya masing-masing petang Jumaat dan pagi Sabtu bagi membantu siasatan tidak menyerahkan wang pampasan yang diputuskan tiga tahun lalu.

Pengarah berusia 54 tahun ditahan di Ipoh, Perak hasil kerjasama daripada Jabatan Imigresen yang mendapati dia memohon Pas Sempadan untuk ke luar negara melalui sempadan Thailand-Malaysia manakala pengurus besarnya, yang berusia 53 tahun, pula ditahan di Pulau Pinang.

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001. Pengurus besar terbabit merupakan supsek utama dalam kes ini.

SPRM memulakan siasatan ekoran aduan bahawa syarikat mereka berkhidmat tidak menyerahakan pampasan kepada subkontraktor dan juruperunding.

Sembilan daripada 10 kontraktor didakwa tidak menerima wang pampasan yang diputuskan oleh mahkamah.

Hasil siasatan awal menunjukkan sebahagian besar daripada wang kehakiman telah disalurkan ke tempat lain.

Suspek utama kes ini, yang menghilangkan diri sepanjang siasatan, ditahan pagi ini hasil bantuan dan maklumat orang ramai.