Mahkamah Tinggi menyarankan supaya kes saman fitnah anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad diselesaikan di luar mahkamah.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membuat saranan itu dalam kamar ketika kes tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini dengan dihadiri peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Aziz dan Utusan, dan peguam Mohamed Hanipa Maidin bagi pihak Nurul Izzah.

Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian terakhir bagi menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata mahkamah juga menetapkan 14 Ogos ini untuk memaklumkan perkembangan kes itu.

Sebelum ini, kes itu dicadang diselesaikan secara mediasi tetapi pada 3 Julai lepas, kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes mereka melalui proses mediasi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamed Hashim.

Pada 23 Nov 2012, Nurul Izzah selaku plaintif memfailkan saman itu dengan mendakwa Aziz dan Utusan, sebagai defendan pertama dan kedua, memutarbelit kenyataannya dalam forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, mendakwa empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya itu diterbitkan akhbar Utusan Malaysia pada 5 dan 7 Nov, 2012.

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah itu, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau dan kos difikirkan sesuai oleh mahkamah.