SHAH ALAM : Kerajaan Selangor bakal menurunkan deposit tanah kepada 100 peratus kepada syarikat yang ingin melabur di negeri tersebut mulai tahun hadapan, susulan kadar deposit 150 peratus yang ditetapkan sebelum ini dilihat membebankan pelabur, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

"Kali ini kerajaan negeri pada 2022, kita letakkan deposit (tanah) 100 peratus sahaja maknanya 'at par' dengan kadar dan penilaian yang telah diberikan (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) dan juga Kaedah Tanah Selangor supaya bebanan itu dapat dikurangkan kepada pelabur-pelabur ini.

"Ini (Langkah ini dilaksanakan) supaya pelabur dapat segera membuat pelaburan, merealisasikan pembangunan dan seterusnya mencipta peluang pekerjaan dan membawa pelaburan dengan lebih segera," katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) yang ingin mengetahui berhubung Dasar Kelulusan 100 hari sama ada Selangor mempertimbangkan syarat yang lebih fleksibel.

Dalam sesi pertanyaan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim memaklumkan kerajaan negeri sedang merangka pelan tindakan cadangan pembangunan Selangor Drone Centre of Excellence (CoE) di Universiti Selangor Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor.

"Fasiliti ini akan menyediakan kemudahan seperti makmal pembangunan dan penyelidikan teknologi, pembuatan, penyediaan latihan serta pusat ujikaji (test bed) bagi pesawat tanpa pemandu (UAV) dan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi air, tanah dan udara serta lain-lain aktiviti yang berkaitan.

"Di antara pemain industri yang menzahirkan hasrat untuk turut bekerjasama adalah syarikat-syarikat seperti AERODYNE Group dan juga Pen Aviation Sdn Bhd yang merupakan perunding penerbangan dan pakar dalam bidang dron," katanya.

Teng menjawab pertanyaan Lau Weng San (PH-Banting) yang ingin mengetahui berhubung potensi Selangor dalam menarik pelaburan berteknologi tinggi di sektor pembuatan kereta terbang, dron serta teknologi pemantauan.

Beliau berkata kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan badan-badan pengawal selia untuk menentukan laluan dron yang berpotensi dijadikan laluan selamat bagi penghantaran barang seperti barang keperluan asas, kecemasan dan sebagainya.

"Dengan laluan ini juga, akan diadakan pelabuhan dron. Penyediaan insentif bagi menggalakkan pembangunan dan penggunaan dron akan turut dibincangkan bersama pihak-pihak yang berkaitan agar ia dapat diselaraskan," katanya.

-- BERNAMA