Kerajaan Negeri melaksanakan program 'Selangor Agro Market' di beberapa lokasi di Selangor bermula esok bagi memastikan penduduk negeri dapat membeli pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan dalam keadaan masih segar pada harga yang berpatutan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dilakukan berikutan pihaknya mengesan wujud masalah dalam rantaian pembekalan barangan berkenaan, mengakibatkan berlakunya lambakan sayuran dan buah-buahan tidak terjual dalam pasaran ketika ini.

"Lambakan akhirnya membawa kepada pembuangan barangan itu. Jadi, Selangor Agro Market akan bertindak sebagai lokasi penyimpanan dan jualan bahan seperti sayuran, bawang, cili, kentang, pisang dan sebagainya.

"Langkah ini juga dilihat dapat membantu golongan petani agar rangkaian bekalan barangan berkenaan tidak putus," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Amirudin, peruntukan RM1 juta juga disediakan dalam bentuk dana kitaran oleh kerajaan negeri untuk dimanfaatkan bagi tujuan penyimpanan dan jualan barangan itu di lokasi terpilih berkenaan.

Beliau berkata program fasa pertama di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin yang diselaraskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu berkonsepkan secara prapesanan atau jumpa terus (walk in).

Fasa kedua pula katanya akan diumumkan minggu depan kerana melibatkan perbincangan dengan pasar raya utama bagi tujuan membekal dan mengedar barangan berkenaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan sayuran dan buah-buahan segar boleh membuat pesanan secara dalam talian di laman web www.agrobazaar.com.my dan mengambilnya di tiga lokasi yang ditentukan iaitu di Holysmoke Cafe Seksyen 13 Shah Alam, Restoran Mak Uda Seksyen 15 Shah Alam dan Mad About Cafe Petaling Jaya.

Pengguna juga boleh datang sendiri untuk membeli bahan mentah berkenaan iaitu di Pusat Operasi FAMA di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam selain pasar borong tani Selayang serta My Farm Outlet Putrajaya.

-- BERNAMA