Bermula 15 Jun ini, kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula sektor perniagaan berkaitan sukan termasuk gimnasium, dewan tertutup dan pusat snooker.

Bagaimanapun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengusaha perlu mengisi borang pemakluman terlebih dahulu di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan prosedur operasi standard (SOP).

Borang itu katanya, boleh diakses bermula 8 Jun ini.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan di dalam atau luar dewan bermula 15 Jun ini," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Menjelaskannya, Ismail Sabri berkata, antara aktiviti sukan yang rekreasi yang dibenarkan adalah seperti berikut:

* Sukan individu - badminton, olahraga, angkat berat.

* Sukan permotoran, dua roda dan empat roda.

* Sukan ekstrem - payung terjun, papan luncur, paramotor.

* Sukan rekreasi atau riadah - senamrobik, yoga.


Beliau menegaskan, kebenaran ini perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu hingga tiga meter untuk aktiviti statik seperti angkat berat, berlari atas treadmill sementara tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak, hoki dan ragbi.

Namun begitu katanya, bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, bola jaring dan sukan tempur seperti karate, taekwondo dan silat, mesyuarat memutuskan masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan.

"Ini berbeza saya sebut tadi latihan, latihan boleh, misalnya silat, mereka berlatih secara bersendirian boleh dengan penjarakan sosial.

"Tapi tidak boleh ada silat yang bertempur antara satu sama lain kerana itu akan mewujudkan sentuhan fizikal antara pesilat. Begitu juga dengan bola sepak, tidak boleh ada perlawanan antara dua pasukan," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu, penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan juga masih kekal tidak dibenarkan lagi untuk fasa ini bagi mengelakkan perhimpunan ramai.

Begitu juga dengan sukan air di kolam renang termasuk di kawasan kediaman katanya, yang masih kekal tidak dibenarkan.

"Pihak KBS (Kementerian Sukan dan Belia), Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan berbincang dalam menyeleraskan SOP yang lebih terperinci sebelum membuat keputusan.