Sebanyak 28 bahan makanan kering yang dibekalkan di bawah Program Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di 13 sekolah berasrama didapati tidak mempunyai tarikh luput dan telah luput tarikh guna sehingga 427 hari.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3, hasil lawatan fizikal Audit bermula 21 Februari hingga 20 Mac 2019 juga mendapati bahan makanan di 30 sekolah berasrama yang terlibat dalam program itu juga tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dapatan itu diperoleh hasil pangauditan yang dilakukan di 42 sekolah berasrama yang melibatkan 71 kontrak di Sabah, Kelantan dan Johor dengan membabitkan asrama harian, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah menengah teknik dan vokasional serta sekolah berasrama penuh.

"Lawatan fizikal Audit yang dilakukan mendapati 23 sekolah dibekalkan dengan 59 bahan kering dengan jenama berbeza daripada jenama yang ditetapkan dan tiada kelulusan pentadbiran sekolah.

"Kualiti bahan makanan kering yang digunakan oleh kontraktor di 19 sekolah tidak menepati spesifikasi ditetapkan," kata laporan itu yang dikeluarkan pada Selasa.

Laporan itu turut memaklumkan, antara kelemahan lain dikesan termasuk kualiti bahan basah tidak memuaskan dengan ada sekolah didapati menyimpan lebihan ikan sejuk beku yang tidak segar selain timbangan sebiji atau seketul bahan mentah tidak mencukupi berbanding timbangan ditetapkan dalam kontrak.

Selain itu, tahap kebersihan ruang dapur di 12 sekolah juga tidak memuaskan kerana rak penyimpanan peralatan makanan dan peti sejuk beku didapati kotor.

Menurut laporan itu, semua keadaan itu berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap syarat kontrak dalam pelaksanaan program BMB, pemantauan yang kurang memuaskan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah khususnya penyelia asrama.

Keadaan ini memberi kesan terhadap kualiti dan nutrisi makanan yang diterima oleh murid di asrama, menurut laporan tersebut.

"Program BMB tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan menyebabkan berlakunya kelemahan dalam proses perolehan, pengurusan kontrak, pemantauan serta ketidakpatuhan oleh kontraktor terhadap syarat dan spesifikasi kontrak," menurut laporan itu.

Justeru, pihak Audit mengesyorkan bagi mempertingkat lagi kecekapan pengurusan BMB, KPM perlu mengadakan pemantauan berkala terhadap pengurusan asrama agar lebih cekap dalam mengawasi pelaksanaan perkhidmatan BMB supaya kuantiti, kualiti dan spesifikasi makanan yang sepatutnya, selain menekankan soal kebersihan, keselamatan serta perkhidmatan pekerja.

Selain itu, KPM, JPN dan sekolah perlu meningkatkan penyeliaan dan penguatkuasaan bagi memastikan syarat kontrak dipatuhi sepenuhnya oleh kontraktor dan mengenakan tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal mematuhinya.

-- BERNAMA