Beliau mengakui, usul yang dibentang dan diluluskan setiap kali persidangan bermula itu seolah-olah tidak mendapat perhatian atau reaksi daripada pihak PDRM.
"Ia disifatkan sebagai satu perintah oleh Majlis Mesyuarat Dewan Negara kepada yang berkenaan (PDRM).
"Namun, jika meninjau sejarah kita bersidang, usul ini yang juga dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan (Negara) ini seolah-olah tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Bukit Aman (PDRM).
"Oleh itu, suka kita mencadangkan supaya dibawa ke perhatian berkenaan, betapa pentingnya usul ini tampak dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan.
"Saya ambil kesempatan untuk membawa perhatian kita kepada Seksyen 9C Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] di mana, apa-apa usul atau perintah di bawah Parlimen hendaklah dipatuhi tanpa perlunya bagi saya untuk sebut apa akan jadi jika tidak dipatuhi.
"Dengan itu nota penting ini kita terima dengan sebaiknya, dan harap KDN ambil tindakan sesungguhnya selepas Setiausaha Dewan Negara menulis surat kepada pihak berkenaan," katanya di Dewan Negara pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas usul yang dikemukakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah diluluskan sebulat suara di Dewan Negara.
Usul tersebut adalah seperti berikut:
"Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Negara yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang Ahli-Ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan Setiausaha Dewan Negara hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu."
Pada Ogos 2021, tatkala bahang politik negara semakin panas, beberapa Ahli Parlimen Pembangkang pada ketika itu diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disekat daripada memasuki Kompleks Parlimen.
Mereka yang berarak dari Dataran Merdeka telah disekat oleh pihak PDRM di Bulatan Dato' Onn menuju ke Jalan Parlimen, selain ada beberapa lagi sekatan di jalan-jalan utama menuju ke Parlimen.