KUALA LUMPUR: Peningkatan dua peratus dalam peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2025 dijangka akan memperkasa agensi penguatkuasaan, seterusnya menjamin masa depan Malaysia yang lebih berdaya tahan dan inklusif dari segi keselamatan untuk semua rakyat.

Dalam satu kenyataan hari ini, KDN memaklumkan bahawa belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, adalah selaras dengan peranan besar kementerian itu untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Ini termasuk usaha memperkukuh keselamatan sempadan, perairan, dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

Menyambut baik tersebut, kementerian berkenaan memaklumkan bahawa selaras dengan visi Malaysia MADANI, yang bertujuan memastikan semua rakyat Malaysia hidup bermaruah meliputi hak asasi dan kualiti hidup yang terjamin.

"Secara keseluruhan, KDN diperuntukkan sebanyak RM19.5 bilion, terdiri daripada RM15.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE), yang mencatatkan kenaikan dua peratus berbanding Belanjawan 2024 sebanyak RM19.06 bilion," menurut kenyataan itu.

KDN juga memaklumkan bahawa peningkatan keseluruhan peruntukan ini menggambarkan peranan penting KDN sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI dalam konteks memperkukuh perpaduan dan keselamatan negara.

Belanjawan tersebut menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan agensi penguatkuasaan terus memperhebat tindakan pemeliharaan kesejahteraan rakyat. Ini termasuk usaha menangani ketirisan hasil, memperketat langkah kawalan penyeludupan dan meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi secara bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain.

Dalam merumuskan Belanjawan 2025 untuk kementerian itu, KDN menyebut antaranya ialah pelaksanaan projek naik taraf pos kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian dan Program Baitul Mahabbah diteruskan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan antarabangsa berkaitan selain penggubalan akta baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif.

Selain itu, belanjawan ini juga melibatkan peruntukan sebanyak RM2.12 bilion khusus untuk PDRM dan agensi beruniform di bawah KDN. Ini bertujuan menjamin keselamatan dalam negeri serta membendung peningkatan kes jenayah. Peruntukan tersebut termasuklah perolehan aset perairan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritime Malaysia, yang merangkumi enam kapal dalam program Pemanjangan Usia Kapal (Ship Life Extension Programme) Fasa 2, sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship dan dua Kapal Ronda Generasi Baharu.

Bagi menghadapi cabaran dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan negara terjamin, KDN akan terus meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

-- BERNAMA