Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap dalam mesin basuh dalam satu kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, Batu 12, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa berusia 3 tahun itu dipercayai bermain dekat mesin basuh berkenaan sebelum terjatuh ke bahagian pengering.

Difahamkan, kanak-kanak itu terperangkap kira-kira sejam dalam mesin itu dan terpaksa menahan sakit sepanjang tempoh berkenaan.

Ahli keluarganya dilaporkan meminta bantuan jiran untuk mengeluarkan mangsa namun gagal sebelum mereka menghubungi pihak bomba.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Anddre Andrew berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.43 pagi dan menghantar tujuh anggota ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa dengan memotong bahagian pengering menggunakan peralatan khas.

"Kanak-kanak terbabit hanya mengalami lebam di bahagian kaki. Operasi tamat pada jam 11 pagi," katanya.