PADANG TERAP: "Sedap ibu masak hari ini dan saya tak akan makan lagi lepas ni".

Demikian antara kata-kata terakhir Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, kepada ibunya, Nur Suraya Abdul Rahman, 42, ketika mereka makan tengah hari bersama, sebelum remaja itu keluar rumah pada Rabu.

Nur Suraya tidak mengetahui apa maksud di sebalik kata-kata anaknya itu, namun semuanya seakan-akan petanda apabila dia mendapat perkhabaran paling ditakutinya, Muhammad Hariyz Akief meninggal dunia.

Remaja itu maut akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut di kabel elektrik di Kampung Tanjung Putus, di sini petang Rabu.

BACA: Remaja maut, 4 melecur kena renjatan elektrik ketika kait umpan tersangkut pada kabel

Mengulas lanjut, Nur Suraya berkata, dia berasa hairan kerana anaknya itu tidak berhenti memuji masakannya yang sebenarnya hidangan biasa yang sederhana.

“Arwah berulang kali memuji masakan saya sedap dan makan dengan sangat berselera sebelum keluar rumah tidak lama kemudian.

"Padahal saya hanya masak ayam goreng dan sambal belacan saja. Tapi dia cakap, sedap ibu masak hari ini... saya (Muhammad Hariyz Akief) tak akan makan lagi lepas ni,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada Khamis.

Nur Suraya berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak keduanya yang dipanggil Angah itu pada jam 7 malam selepas dimaklum dua rakan anaknya yang datang ke rumah di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang.

“Sebaik membuka pintu saya terkejut selepas diberitahu Angah tidak sedarkan diri di kawasan sawah.

"Ketika itu, suami, Noraimi Ahmad, 42, baru pulang kerja dan terus bergegas ke lokasi sebelum mendapati Akief tidak sedarkan diri... keempat-empat rakannya pula berada dalam keadaan penuh dengan lumpur di dalam sawah,” katanya.

Nur Suraya berkata, arwah seorang anak yang baik dan dalam kalangan tiga anaknya arwah adalah yang paling ceria.

Malah ketika abangnya, Muhammad Shabil Airil, 17, dimasukkan ke wad hospital akibat penyakit asma Jumaat lalu, arwah yang mengambil tanggungjawab menjaga adiknya, Muammar Luthfil Hadi, 7, di rumah.

“Arwah juga lebih suka bergaul dengan orang yang lebih tua daripadanya termasuk rakan-rakan abangnya.

"Saya reda dengan apa yang berlaku... sudah ketentuan Illahi... akan menyimpan segala kenangan bersamanya sampai bila-bila... terutama barang miliknya di rumah yang sangat banyak," katanya.

Nur Suraya berkata, dia berharap rakan anaknya yang lain yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah akan segera sembuh walaupun dimaklumkan seorang daripada mereka melecur hampir 50 peratus.

Katanya, jenazah Muhammad Hariyz Akief dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Putus, di sini sebaik selesai urusan bedah siasat.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, seorang remaja lelaki maut manakala empat rakannya masing-masing melecur di kaki, badan dan muka selepas terkena renjatan elektrik di kawasan bendang, Kampung Tanjung Putus.

Dalam kejadian itu, Muhammad Hariyz Akief yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad itu disahkan meninggal dunia.